Bachok: Dua keluarga terkejut apabila rumah mereka hampir runtuh dalam kejadian hakisan sungai di Kampung Kuau, Repek di sini, petang hari ini.
Dalam kejadian 3 petang, kediaman mereka hampir ranap dalam hakisan pada jarak tiga meter daripada Sungai Kuau.
Mangsa, Hamzah Jusoh, 53, berkata, ketika kejadian dia berada di belakang rumahnya sebelum menyedari terdapat rekahan kecil pada tanah di kawasan itu.
Katanya, dia kemudian memanggil anak dan jirannya sebelum dikejutkan dengan hakisan di kawasan itu yang turut menghanyutkan sebahagian halaman belakang rumah dan beberapa pokok.
“Kami lihat sendiri rekahan daripada kecil menjadi semakin besar hingga akhirnya terhakis secara tiba-tiba dalam tempoh tiga minit sahaja.
“Kami yang terkejut bergegas masuk ke dalam rumah menyelamatkan barang-barang dan menyuruh ahli keluarga lain ke tempat lebih selamat,” katanya.
Hamzah berkata, ketika kejadian dia bersama anak-anaknya sementara isterinya, Azma Mohamad@Deraman, 46, tiada di rumah.
Katanya, kejadian itu adalah kali pertama berlaku sejak dia tinggal di situ kira-kira 13 tahun lalu.
“Kami mengambil keputusan berpindah sementara ke rumah adik saya sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya yang tinggal enam beranak di rumah itu.
Seorang lagi mangsa, Siti Fatimah Mat, 52, berkata, dia baru selesai solat apabila mengetahui belakang rumahnya mengalami mendapan tanah.
Katanya, sebaik ke tempat kejadian, dia melihat sebahagian laman dan barang-barang yang diletakkan di belakang rumahnya sudah dihanyutkan ke sungai.
“Mendapan turut menghanyutkan pokok nibong berusia lebih 50 tahun dan kami berasa tidak selamat duduki rumah ini buat masa sekarang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kecemasan itu pada 3.15 petang.
Menurutnya, seramai sembilan mangsa membabitkan dua keluarga dengan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Sumber: My Metro