Tanah Merah: Polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan sebuah ambulans melanggar seorang wanita yang menunggang motosikal di Jalan Panglima Bayu, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, berkata pihaknya juga sudah membuat semakan dengan pengurusan Hospital Tanah Merah serta Jeli yang memaklumkan tiada sebarang kemalangan berlaku membabitkan ambulans.
“Setakat ini kami tidak boleh membuat sebarang pengesahan lagi berhubung dakwaan yang tular di media sosial itu.
“Kami juga sudah berhubung dengan pihak Hospital Tanah Merah serta Jeli namun masing-masing memaklumkan tiada kemalangan membabitkan ambulans dengan orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zainuddin berkata, pihaknya meminta agar mangsa tampil membuat laporan jika dakwaan itu benar bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan lanjut.
Dalam hantaran yang dibuat seorang pengguna Facebook, individu itu memohon bantuan agar menyalurkan maklumat mengenai ambulans yang didakwa melanggar seorang wanita yang menunggang motosikal.
Pengguna media sosial itu yang menyifatkan kejadian berkenaan sebagai langgar lari meminta saksi yang melihat kejadian itu tampil bagi memudahkan tindakan selanjutnya.
Dakwaan yang dimuatkan dalam Facebook dan tular sejak semalam mengundang pelbagai kecaman terhadap pemandu ambulans dan meminta bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
Bagaimanapun seorang pengguna Facebook lain menulis komen mengatakan, mangsa terjatuh sendiri akibat terkejut sebaik ternampak ambulans yang ketika itu sedang membawa seorang pesakit Covid-19 dari arah Rantau Panjang ke Jeli.
Sumber: My Metro