Bergurau merupakan satu perkara biasa dalam kehidupan. Ia sudah menjadi warna-warni dalam hidup seseorang dengan gurauan-gurauan sama ada bersama adik beradik, kawan-kawan atau sesiapa sahaja dengan tujuan mahu menceriakan suasana.
Seseorang yang berperwatakan serius sahaja sepanjang masa, tiada unsur humor dan sebagainya sebenarnya telah menafikan fitrah seorang manusia biasa.
Rasulullah sendiri tidak menafikan fitrah sebagai manusia yang sukakan suasana gembira dan ceria. Ada waktu-waktu tertentu baginda akan bergurau senda bersama isteri-isteri dan sahabat-sahabat baginda.
Cara baginda bergurau senda itulah yang sepatutnya menjadi panduan kepada kita.
Berkata Imam Nawawi: Ketahuilah bahawa bergurau yang ditegah adalah yang melampau dan berlebih-lebihan dan dijadikan kebiasaan.
Gelak ketawa akan menyebabkan hati menjadi keras dan menyibukkan hati daripada mengingati Allah serta dari memikirkan perkara-perkara penting dalam agama.
Adapun gurauan yang bebas dari perkara-perkara ini adalah harus dan dilakukan oleh Rasulullah secara sekali-sekala untuk kebaikan jiwa dan ia adalah sunah. Pernah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua yang bertemu meminta Rasulullah mendoakannya masuk syurga.
Rasulullah bersabda: Wahai ibu, syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lantas orang tua itu menangis kerana hanya memahami zahir daripada kata-kata Rasulullah.
Lalu Baginda menjelaskan kepadanya bahawa apabila dia masuk ke dalam syurga, dia tidak masuk dalam keadaan tua tetapi bertukar menjadi wanita muda yang cantik.
Kemudian Rasulullah membaca firman Allah di dalam Surah al-Waaqi’ah ayat 35-37 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (HR Tirmizi dalam Syamail).
Antara larangan yang tidak boleh dilakukan ketika bergurau senda ialah:
1. Jangan bergurau dengan benda tajam
Sudah menjadi kebiasaan mereka di luar sana yang ingin mencari kandungan media sosial, mereka sanggup bergurau dengan benda-benda yang berbahaya seperti pisau, pistol, pedang dan lain-lain lagi.
Tahukah kita bahawa orang yang menghunus benda tajam kepada saudaranya merupakan amalan yang terlaknat. Sabda Rasulullah: “Barang siapa yang memberikan isyarat menghunus dengan satu benda tajam kepada saudaranya, nescaya para malaikat akan melaknatnya sekalipun jika dibuat kepada saudara sebapa atau seibunya. (HR Muslim 2616)
Berkata Imam Nawawi dalam al-Minhaj: Maksud para malaikat melaknat itu adalah menunjukkan kepada hukum haram.
2. Jangan bergurau dengan menjatuhkan maruah seseorang
Bergurau untuk menjatuhkan maruah seseorang pada hari ini sudah menjadi kebiasaan tanpa memikirkan tentang hukum hakam.
Sebagai seorang Muslim kita diajar untuk menjaga kehormatan saudara-saudara kita.
Sabda Baginda Rasulullah: Seorang muslim itu saudara bagi muslim yang lainnya. Tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh pula menyerahkan kepada orang yang hendak menyakitinya. Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya.
Barang siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, nescaya Allah akan melapangkan kesusahan-kesusahannya di Hari Kiamat. Dan barang siapa yang menutupi kesalahan seorang muslim, nescaya Allah akan menutupi kesalahannya kelak di Hari Kiamat. (HR Bukhari 2442 dan Muslim 2580)
3. Elak bergurau menghina tubuh badan
Body shaming atau ejekan tubuh boleh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau melalui menghina fizikal bentuk tubuh, warna kulit, penampilan serta kekurangan dialami mereka.
Terdapat satu hadis yang mana telah diceritakan bahawa Nabi pernah menegur seorang sahabat yang mentertawakan Abdullah Ibnu Mas’ud yang memiliki betis yang kecil.
Rasulullah bersabda dengan maksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di atas timbangan daripada Gunung Uhud”. (HR Ahmad 3991)
Hadis ini menerangkan perbuatan menghina fizikal sesorang adalah dilarang. Walhal sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan dan hanya ketawa sahaja. Ia adalah haram dan mereka terus ditegur oleh Rasulullah.
Ejekan tubuh satu isu, isu lainnya adalah bahasa yang digunakan adalah tidak enak didengar dan tidak menzahirkan peribadi muslim yang baik.
4. Menipu jangan dijadikan gurauan
Menipu untuk mendapatkan perhatian manusia dan untuk menghiburkan manusia lain adalah perkara yang dilarang dalam Islam.
Sabda Baginda Rasulullah: Celakalah orang yang berbicara kemudian berbohong agar orang lain mentertawakannya, celakalah dia, celakalah dia. (HR Ahmad 19200).
5. Dilarang menakutkan orang lain
Gurauan sebegini merupakan satu gurauan yang ditegah dalam Islam kerana boleh menyebabkan keburukkan kepada orang lain.
Sabda Baginda Rasulullah: Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakutkan sesama saudaranya yang muslim. (HR Abu Daud 4351)
Maka berpada-padalah dalam bergurau-senda dan Rasulullah ingatkan bahawa banyaknya ketawa akan menyebabkan hati seseorang itu mati.
Sabda Baginda Rasulullah: “Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati. (HR Ibnu Majah 4183)
Sumber: MSTAR