Makanan Bersih, Tubuh Sihat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Allah mencipta manusia dan dia sahaja yang mengetahui spesifikasi keperluan manusia termasuk dalam isu makanan. Allah telah menetapkan garis panduan halal dan haram yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rohani dan fizikal manusia.

Berhubung dengan prinsip makanan halal ini, Allah berfirman maksudnya: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud: “Diharamkan kamu memakan bangkai binatang, darah yang mengalir, semua bahagian babi, binatang yang disembelih tetapi tidak menyebut nama Allah dan binatang yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, ditanduk, binatang yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat disembelih jika masih kuat bernyawa.” (Surah al-Maaidah, ayat 3)

Kepentingan makanan halal dapat dilihat melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Memilih yang halal itu wajib bagi setiap orang Islam kerana setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih utama baginya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kesimpulannya, makanan halal ialah makanan yang bebas daripada sumber najis bermula daripada penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan. Secara ringkasnya makanan halal itu mesti bersih dan selamat untuk dimakan.

Manakala makanan bernajis pula ialah makanan mengandungi mana-mana daripada bahagian babi, haiwan halal, tetapi tidak disembelih dengan betul, bangkai, binatang buas, arak, darah yang mengalir dan makanan atau tumbuh-tumbuhan yang beracun.

Oleh yang demikian, makanan yang bernajis ini menjadi tidak halal dimakan oleh umat Islam.

Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Bagaimanapun, di antara keduanya wujud perkara yang tidak jelas hukumnya (syubhah), maka lebih selamat kamu meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari segi hukum menurut perspektif Islam, semua jenis makanan yang ada di atas muka bumi ini adalah halal dimakan kecuali beberapa jenis yang terang-terang diharamkan Allah dan Rasul-Nya.

Terdapat pelbagai bentuk pencemaran makanan halal di pasaran, terutama dari sudut kaedah penyediaan makanan halal yang meliputi cara penyembelihan, sumber bahan mentah, sumber bahan, pemperosesan, pembungkusan, kebersihan dan keselamatan makanan, pembungkusan, penyimpanan, persekitaran dan sebagainya.

Sebagai panduan pengguna Islam dalam pemilihan makanan halal, maka pengguna perlu mematuhi peraturan berikut:

1. Pastikan ada sijil halal yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam di negara ini.

2. Lebih baik mengelak membeli produk yang dihasilkan dari luar negara yang berasaskan daging jika meragui status halalnya.

3. Jangan mudah tertipu dengan penggunaan logo halal yang dibuat sendiri oleh pengeluar kerana tiada pihak berkelayakan mengesahkan status halal makanan itu.

4. Menghubungi pihak berkuasa agama untuk mendapat maklumat lanjut berhubung isu halal dan haram dalam makanan dan barangan gunaan Islam yang lain.

5. Jika membeli daging ayam yang dijual di pasar pastikan ayam disembelih dengan betul atau minta maklumat daripada penjual sumber ayam yang diproses itu.

6. Pasukan pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Jain dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hendaklah sentiasa membuat pemeriksaan susulan secara mengejut ke premis pemegang sijil halal untuk menentukan mereka sentiasa mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.

Bagi menjamin kualiti makanan halal itu, pihak industri lebih suka mendapatkan pengesahan halal yang dikeluarkan kerajaan dan tidak sewenang-wenang menggunakan sebarang logo halal.

Umat Islam di negara ini amat beruntung kerana kerajaan terlibat secara langsung dalam usaha meningkatkan kualiti dan pengawalan pencemaran makanan halal. Ini kelebihan dan faktor utama pengeluaran makanan halal negara ini terkenal di seluruh dunia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) mengamalkan prosedur pemeriksaan halal yang ketat bagi menentukan pengeluaran makanan halal memenuhi standard halal yang ditetapkan.

Langkah ini amat wajar sebagai usaha menjaga imej Islam dan mengekalkan prestasi keyakinan tinggi umat Islam terhadap produk makanan halal yang dikeluarkan di negara ini.

Menurut beberapa penganalisis ekonomi dunia, nilai pasaran makanan halal dunia sahaja sudah dianggarkan bernilai lebih AS$50 bilion (RM190 bilion) setahun yang membabitkan 1.6 bilion pengguna umat Islam di seluruh dunia.

Berdasarkan perkembangan pesat mutakhir ini, umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk mengeluarkan produk makanan halal sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam, malah ia akan mengembalikan kegemilangan dan kejayaan umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.

Sumber: HARIAN METRO