KUALA TERENGGANU- Keputusan kerajaan membenarkan rakyat yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 merentas negeri memberi kelegaan kepada hampir 1,000 peniaga di Pasar Payang, di sini.
Peniaga, Nurul Adila Mazlan, 35, berkata, hasil jualannya boleh mencecah sehingga RM2,000 sehari sebaik sahaja aktiviti merentas negeri dibenarkan.
Nurul Adila yang menjual t-shirt cenderahati itu berkata, ia petanda cukup baik untuk memulihkan semula perniagaannya yang terjejas sebelum ini.
“Pasar Payang sangat terkenal dan menjadi destinasi wajib di Terengganu, sebab itu kita memang bergantung kepada pelancong luar.
“Bila PKP dilaksanakan, kita tidak boleh berniaga dan bila diberi kelonggaran rentas daerah pun tak membantu sangat, sebab orang tempatan tidak datang sangat pasar ini. Tapi semenjak rentas negeri dibolehkan, barulah pasar ini kembali meriah,” katanya .
Jamilah Halim, 50, yang menjual batik dan baju kaftan juga bersependapat dan berkata, dia boleh menarik nafas lega melihat pasar itu ‘diserbu’ oleh pelancong luar.
Ujarnya ia berbeza dengan situasi sebelum ini, apabila ada hari berlalu tanpa dia mampu merekodkan sebarang jualan.
“Tapi sekarang sejak rentas negeri ini hasil jualan saya boleh cecah ribu juga, cuma biarpun hasil jualan kita meningkat, tidak bermaksud kita meraih untung pun.
“Berniaga sekarang tak macam dulu, apa- apa yang kita dapat ini cukup-cukup saja untuk bertahan, namun bagi saya bila rentas negeri dibolehkan, ia perkembangan yang cukup baik. Saya harap keadaan akan terus konsisten dan tidak berulang macam dulu,” katanya.
Sebelum ini Pengerusi Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, Terengganu akan dapat menarik kemasukan sekurang-kurangnya 1.5 juta pelancong hingga akhir tahun ini susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, peningkatan kemasukan pengunjung berupaya memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Sumber: TRDI News