Setiap tahun rugi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Ketibaan musim tengkujuh sentiasa meresahkan penternak ikan dalam sangkar di sekitar Laguna Sri Tujoh, di sini, kerana bakal berdepan dengan kerugian besar disebabkan banyak ikan mati.

Ia berikutan air hujan yang dilepaskan dari pintu air di Jubakar Pantai akan mengalir ke sangkar ikan yang menyebabkan ternakan itu mati kerana keracunan serta kekurangan oksigen.

Bagi Abdul Rahman Hamid, 52, situasi itu dialami setiap tahun menyebabkan dia dan hampir 100 penternak ikan dalam sangkar sekitar berdepan dengan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

“Memang keadaan ini tidak boleh dielakkan dan dihadapi kami saban tahun menjelang musim tengkujuh cuma atas nasib sama ada mengalami rugi banyak atau sedikit.

“Jika ikan yang sudah mencapai lapan atau 10 bulan usianya, ia sudah mampu dijual tapi yang kurang daripada usia itu kami hanya berputih mata melihat ia mati akibat kekurangan oksigen dan keracunan.

“Tempoh musim tengkujuh yang lazimnya mengambil masa antara empat hingga lima bulan tidak sempat menjadikan ikan yang diternak membesar mengikut jadual yang sepatutnya ia boleh dijual,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

ABDUL Rahman sentiasa memantau ikan dalam sangkar setiap hari bagi persediaan mengurangkan kerugian lebih besar ditanggung ketika ditemui di Laguna Sri Tujoh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Rahman sentiasa memantau ikan dalam sangkar setiap hari bagi persediaan mengurangkan kerugian lebih besar ditanggung ketika ditemui di Laguna Sri Tujoh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Abdul Rahman berkata, hujan lebat berterusan yang melanda dua minggu lalu menyebabkan beberapa penternak ikan dalam sangkar segera menyauk ikan ternakan daripada sangkar masing-masing dan dijual pada harga murah di tepi jalan bagi mengelakkan kerugian.

Jika pasaran semasa, untuk ikan talapia, ia akan dijual pada harga RM15 sekilogram, RM18 untuk siakap manakala kerapu pula RM35, namun setiap kali berdepan dengan situasi itu, ikan akan dijual sehingga serendah RM10 sekilogram.

Dia yang memiliki 20 sangkar dan sudah menternak sejak 30 tahun lalu berkata, sebagai langkah awal, semua penternak sudah membekalkan oksigen untuk sangkar ikan masing-masing dan persediaan itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan kerugian lebih besar ditanggung.

“Saya sendiri menyediakan dua enjin bekalan oksigen dan sudah menyalurkannya sedikit demi sedikit sebagai persediaan ketibaan hujan lebat yang bila-bila masa akan melanda.

Sumber: My Metro