JKNP Keluar Kompaun RM42,000 Kepada 32 Pemilik Mesin Air Tidak Berlesen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan kompaun bernilai RM42,000 kepada 32 pemilik mesin jual air di negeri ini.

Pengarahnya, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan media berkata pengoperasian mesin jual air perlulah mendapat lesen daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Secara keseluruhan bagi tahun 2021, sebanyak 32 MJA (Mesin Jual Air) telah disita di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dan 21 notis Seksyen 32B dengan nilai tawaran kompaun RM42,000 telah dikeluarkan kepada pemilik MJA kerana telah beroperasi tanpa lesen dan melanggar Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus.

“Menurut Peraturan 360C(4) mana- mana MJA yang didapati beroperasi tanpa lesen KKM adalah merupakan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 693 mesin jual air telah dikenalpasti beroperasi di seluruh negeri ini setakat bulan ini.

“Daripada jumlah tersebut, 464 MJA (67 peratus) telah berlesen, manakala sejumlah 229 MJA (33 peratus) di dalam proses permohonan bagi mendapatkan lesen.

“Hasil operasi yang telah dijalankan secara serentak di seluruh negeri Pahang pada 23-24 November 2021, sebanyak enam MJA tidak berlesen telah dilak di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dan 7 notis Seksyen 32B dengan nilai tawaran kompaun RM 14,000 telah dikeluarkan kepada pemilik MJA kerana telah beroperasi tanpa lesen dan melanggar Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

Tambah beliau, operasi yang dijalankan ini bagi memastikan kualiti air yang dijual kepada orang awam adalah selamat.

“Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa prihatin terhadap kepentingan orang ramai, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dan kesihatan orang awam.

“Oleh yang demikian, Operasi Pelesenan Mesin Jual Air yang dijalankan merupakan aktiviti yang penting untuk memastikan semua mesin jual air mempunyai lesen serta mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan bagi memastikan kualiti air yang dihasilkan dan dijual kepada orang awam adalah selamat,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA