E-Sport Ajar Erti Tidak Putus Asa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Berkongsi pengalaman bermain sukan dalam talian (e-sport) PUBG, YAB Menteri Besar Pahang menyifatkan ia mengajar erti tidak putus asa.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata permainan ini juga mengajar pemainnya untuk bijak mengatur strategi supaya dapat mengalahkan lawan.

“PUBG ini ada konsep kalah menang. Tapi bukanlah kena tembak tu kalah terus, tidak. Dia masih bagi kita peluang untuk mengatur strategi.

“Tadi saya pun kena tembak, tapi saya bangkit balik. Saya lawan sampai menang.

“Jadi permainan ini dapat mengajar kita cara untuk mengatur strategi dan mengajar kita supaya tidak mudah berputus asa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan PUBG Piala Menteri Besar Pahang di Dewan Orang Ramai Taman Impian di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Namun demikian, beliau turut mengingatkan pemain e-sport supaya tidak terlalu leka bermain permainan sehingga mengganggu urusan kehidupan.

“Ini adalah satu permainan zaman sekarang. Masa saya dulu, saya main guli, main gasing, tapi sebab zaman telah berubah, permainan ini sangat sesuai dengan zaman ini daripada mereka duduk melepak, membuang masa, atau buat kerja yang tidak berfaedah.

“Ini (e-sport) bagi saya hanyalah kerja-kerja sambilanlah. Cuma saya ingatkan mereka tadi, ingat kerja hakiki iaitu untuk mereka belajar supaya mendapat ilmu pengetahuan. Bila ada kelapangan bolehlah bermain PUBG ini,” katanya.

Sebanyak hampir 200 peserta daripada kira-kira 40 pasukan terlibat dengan pertandingan anjuran Pergerakan UMNO Bahagian Indera Mahkota ini.

Tambah beliau lagi, pertandingan seumpama ini juga akan diperluaskan ke daerah lain di negeri ini pada masa hadapan.

“Sudah tentu (akan diperluaskan) kerana e-sport ini satu permainan yang sangat baik, dan kosnya tidak terlalu tinggi.

“Cuma yang membimbangkan saya sedikit sahaja, bimbang mereka lalai dan cuai tapi daripada segi lain, ia bagus supaya anak muda kita ini tidak terperangkap dengan aktiviti negatif,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA