Agar Jadi Muslim Baik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Suatu masa dahulu, ada seseorang sedang berusaha mencari ‘jalan pulang’ untuk merubah diri ke arah kebaikan. Ada yang menyedarkannya meskipun hidupnya senang dan berharta, namun dia tidak berasa bahagia kerana tidak pernah menunaikan solat.

Akhirnya dia menemui jawapan bahawa cara terbaik untuk membebaskan diri daripada hawa nafsu adalah dengan menunaikan solat. Justeru, ramai orang berpesan bahawa jika seseorang berniat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan, mulakanlah dengan menunaikan dan memperbaiki solat.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Ibadah solat mendatangkan ketenangan dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Kajian saintifik membuktikan bahawa waktu mendirikan solat adalah waktu paling merehatkan minda. Kelebihan solat dari perspektif sains juga mendapati ibadat solat menjadikan otak manusia lebih tenang. Oleh itu, solat bukan sahaja memberikan kesejahteraan spiritual, tetapi juga mental dan fizikal.

Solat merupakan detik paling hampir seseorang kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA maksudnya: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” (Riwayat Muslim)

Walaupun kebanyakan kita belum sempurna dalam mentaati perintah Allah, namun ia tidak bermakna kita tidak layak untuk solat atau tidak perlu menunaikan solat. Terdapat juga segelintir manusia yang banyak membuat kebajikan, hartawan dan dermawan yang menyumbang bagi pembinaan masjid dan surau namun diri sendiri tidak menunaikan solat.

Sebahagian orang memberikan alasan untuk menjadi baik terlebih dahulu, kemudian baru bersedia untuk solat. Sedangkan tiada manusia yang sempurna dan terlepas dari melakukan dosa dalam kehidupan. Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa beristighfar dan memohon ampun kepada Allah pada setiap masa.

Ibadah solat wajib ditunaikan oleh setiap Muslim. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagi mana tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat.

Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada Hari Kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad)

Anak-anak perlu dididik supaya menunaikan solat semenjak kecil sebagaimana hadis yang bermaksud: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal Rasulullah SAW bersabda yang bermaksudnya: “Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu perkara utama bagi segala perkara, tiangnya dan puncaknya?

Aku (Mu’az bin Jabal) menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Perkara utama bagi setiap perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad.” (Riwayat Ibnu Majah)

Ibadah solat itu perkara utama yang dipertanggungjawabkan kepada manusia di akhirat kelak seperti hadis yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya.

Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.” (Riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu, beruntunglah bagi mereka yang memelihara ibadah solat pada setiap masa. Di negara kita umat Islam dapat menunaikan solat dalam keadaan aman dan damai.

Di Wilayah Persekutuan sahaja sejumlah 89 masjid, 123 surau Jumaat dan 578 surau disediakan bagi kemudahan umat Islam menunaikan solat. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga menyediakan kemudahan surau bergerak yang boleh digunakan bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat.

Justeru, marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan kekuatan untuk memelihara ibadah solat agar menjadi asbab kepada kebaikan.

Sumber: HARIAN METRO