Dunia tidak boleh lagi jadi mangsa pandemik – WHO

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GENEVA: Dunia perlu mengambil iktibar daripada kesan pandemik COVID-19 dan berikhtiar supaya tidak lagi menjadi mangsa ancaman sebarang wabak pada masa depan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memanggil perjumpaan khas semua negara anggota semalam bagi menyelaras persefahaman global baru bagi menangani sebarang pandemik pada masa depan.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa satu lagi ancaman pandemik sudah pasti berlaku sekiranya semua negara beriltizam bagi memperkukuhkan pertahanan kesihatan global.

Negara anggota akan WHO bermesyuarat di Geneva bermula kelmarin sehingga esok untuk membincangkan perjanjian antarabangsa bagi menangani wabak seterusnya, yang menurut jangkaan pakar, hanya menunggu masa untuk berlaku.

Perhimpunan itu diadakan ketika dunia masih dibelenggu dengan jangkitan COVID-19 hampir dua tahun selepas kes pertama yang direkodkan.

Kini dunia berdepan penularan varian COVID-19, Omicron, varian baharu yang membimbangkan (VOC) , mengikut takrifan WHO.

Negara anggota WHO mencapai kata sepakat semalam untuk memulakan proses ke arah perjanjian menangani pandemik itu.

Semua negara bersetuju untuk menubuhkan badan antara kerajaan yang bertanggungjawab merangka dan merundingkan perjanjian WHO mengenai penyelarasan pencegahan, kesiapsiagaan serta tindak balas wabak.

Deraf keputusan dikeluarkan semalam, yang mana semua negara bersetuju untuk bertolak ansur dan kini memperakukan keputusan itu secara rasmi dalam mesyuarat itu.

“Kemunculan varian Omicron yang sangat cepat bermutasi menggariskan betapa bahaya tetap berlaku dan keadaan tidak menentu,” kata Tedros kepada pemimpin dunia pada permulaan perhimpunan tiga hari itu.

“Omicron menunjukkan betapa dunia memerlukan persetujuan baharu mengenai wabak.

“Kita tidak perlu amaran lagi, kita semua harus berjaga-jaga dengan ancaman virus ini.

“Semuanya akan berlaku lagi melainkan kamu, bangsa-bangsa di dunia, dapat berkumpul untuk berkata dengan satu suara: tidak akan pernah lagi,” katanya.

Kemunculan Omicron adalah satu lagi peringatan bahawa walaupun ramai di antara kita mungkin menganggap ‘perang’ menentang COVID-19 sudah selesai, tetapi hakikatnya ia belum berakhir.

Mesyuarat Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA), badan pembuat keputusan WHO merangkumi semua 194 negara anggota, adalah sesi khas yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi membincangkan cara menangani wabak seterusnya.

Hasil akhir proses itu akan berkuat kuasa pada 2024.

Deraf keputusan itu menyatakan bahawa negara anggota WHO bersetuju menubuhkan badan perundingan antara kerajaan (INB).

Ia bertujuan merangka dan merundingkan konvensyen WHO, perjanjian atau instrumen antarabangsa lain mengenai pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas wabak.

Mesyuarat pertama INB perlu diadakan selewat-lewatnya pada 1 Mac tahun depan untuk memilih dua pengerusi bersama dan empat naib pengerusi.

Laporan kemajuan akan dibentangkan pada acara tahunan Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada 2023, dengan hasil akhir dibentangkan untuk dipertimbangkan di WHA 2024.

Sumber: Berita Harian