Kejayaan dan kegagalan dan seumpamanya adalah lumrah realiti kehidupan yang pasti ditempuhi oleh setiap manusia. Ia tidak hanya berlaku dalam dunia permainan atau perlawanan bola sepak, malah ia juga berlaku dalam politik, sosial, pendidikan dan sebagainya.
Namun, tidak semua orang dapat menerima berita kejayaan mahupun hakikat kegagalan dengan hati terbuka. Sebagai contohnya, ada orang yang tidak dapat menahan kegembiraan apabila dia memperoleh kejayaan dan ada juga yang sanggup melakukan perbuatan khianat apabila dia tidak menerima kegagalan yang dihadapinya.
Dalam surah Ali ‘Imran, ayat 140 – 141, Allah merakamkan peristiwa kekalahan yang memeritkan dialami oleh tentera Muslimin apabila mereka kalah teruk kepada tentera Quraisy dalam peperangan Uhud walaupun sebelum itu mereka telah merintis kejayaan dalam peperangan Badar al-Kubra.
Meminjam kata-kata Syed Qutub di dalam kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran (Di bawah bayangan al-Quran) semasa menafsirkan ayat di atas, beliau menjelaskan bahawa kekalahan tersebut mempunyai hikmah tersurat dan tersirat yang tersendiri.
Antara hikmah itu ialah setiap Muslim sewajarnya menginsafi dan menyedari bahawa kemenangan sebenarnya adalah hasil daripada daya usaha dan perjuangan manusia itu sendiri. Justeru, mereka tidak boleh mengharapkan kemenangan dengan hanya menanti bantuan mukjizat Ilahi.
Selain itu juga, peristiwa tersebut mengungkapkan satu pengajaran bahawa kejayaan tidak datang dengan sendirinya, sebaliknya ia banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kekuatan ekonomi, keutuhan sosial, kemantapan akidah dan sebagainya.
Semua faktor ini adalah antara persediaan yang penting serta memberi pengaruh dalam menentukan kemenangan atau kegagalan sesuatu bangsa dalam pelbagai bidang.
Umat Islam seharusnya memahami erti kehidupan yang penuh dengan perjuangan yang sengit. Oleh itu, kemenangan dan kegagalan adalah sebahagian daripada sunatullah tersebut. Bagi orang yang beriman, mereka dapat memahami konsep tersebut kerana mereka menyakini bahawa Allah yang menentukan segala-galanya.
Bagaimanapun, setiap Muslim mesti menyedari bahawa setiap kejayaan masih terikat dan bergantung kepada sebab-musabab iaitu daya usaha dan persediaan yang dilakukan pada peringkat awalnya. Pendek kata, kemenangan dan kegagalan ini bersifat dinamik dan tidak bersifat statik.
Kesimpulannya, kemenangan dan kekalahan adalah salah satu perjalanan hidup yang pasti dilalui oleh setiap manusia. Kadang-kadang ia datang tanpa diduga walaupun tidak dirancang kerana ia ketentuan Ilahi juga.
Tapi apa yang lebih penting, tak kira sama ada kemenangan mahupun kekalahan yang dihadapi, kita sebagai seorang Islam semestinya bersedia untuk terus tabah berjuang menyusuri liku-liku hidup yang penuh onak.
Janganlah pula sampai kita alpa dibuai kemenangan dan juga jangan sampai kita berduka nestapa dan bersikap pesimis diuliti kekalahan dan kegagalan.
Sumber: HARIAN METRO