KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil yang langkah proaktif dengan membina satu menara baharu di Kota Shahbandar, Bukit Ibam melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara JENDELA Fasa 1 (2020-2022).
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau mengambil maklum laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai aduan liputan internet yang dialami penduduk di Kota Shahbandar.
Justeru katanya, SKMM Pahang diketuai Pengarah, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor telah turun padang dan berjumpa dengan pengadu di Kota Shahbandar yang turut dihadiri ADUN Bukit Ibam, YB. Dato’ Shamsiah Arshad dan Ketua Kampung baru-baru ini.
“Melalui pertemuan itu, SKMM telah menerangkan kepada semua pihak bahawa melalui pelaksanaan pelan JENDELA, satu menara baharu telahpun dirancang dikawasan aduan untuk memberi liputan internet di Kota Shahbandar.
“Proses pembinaan kini di peringkat awal site survey bagi mencari lokasi sesuai untuk memberi liputan di kawasan sasaran. Malah sebanyak 13 menara baharu akan dibina di Bukit Ibam termasuk 46 stesen pemancar sedang dinaiktaraf.
“Pembinaan menara akan mengambil masa 9 hingga 12 bulan. SKMM Pahang juga telah berjumpa dengan Pegawai Daerah Rompin bagi memohon bantuan untuk mempercepatkan proses perolehan tapak untuk pembinaan menara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang bersama SKMM akan turut memantau dan meminta pihak Telco yang terlibat untuk mempercepatkan proses pembinaan menara dan menyiapkanya lebih awal.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa usaha pelan JENDELA ini telah disampaikan ke semua pejabat Daerah di seluruh Pahang termasuklah di Daerah Rompin ini. S
“Sudah tentu, ADUN kawasan, Penghulu, Ketua Kampung dan sebagainya lebih tahu dan memahami usaha dan perancangan oleh Kerajaan Pahang bersama pihak SKMM melaksanakan pelan JENDELA di seluruh negeri ini.
“Saya juga berharap, penduduk yang mempunyai aduan atau mengalami masalah gangguan liputan, mereka boleh merujuk terlebih dahulu dengan ADUN kawasan, pejabat Daerah, Penghulu atau Ketua Kampung di kawasan masing-masing bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat tentang usaha-usaha yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA