Surah Al-Kautsar merupakan salah satu surah yang pendek di dalam al-Quran yang hanya mengandungi 3 ayat. Surah yang bermaksud sungai di syurga ini diturunkan di Makkah dan disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad SAW.
Surah ini adalah simbolik terhadap kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah di atas pemergian dua orang yang dikasihi baginda iaitu anak lelakinya, Ibrahim dan bapa saudaranya, Abu Talib.
Sebagai umat Islam, kita disarankan untuk membaca surah ini disebabkan ia mengandungi banyak manfaatnya kepada kita. Antara kebaikan-kebaikan yang kita perolehi apabila membaca surah Al-Kautsar ini adalah Allah akan memakbulkan doa kita. Baca surah ini ketika hujan dan berdoa. Insya-Allah doa anda akan dimakbulkan Allah.
Kedua, jika anda haus dan tidak mempunyai air di sekeliling anda, bacalah surah ini dan gosok di leher. Insya-Allah dahaga anda akan hilang. Ketiga, jika anda sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10 kali pada mata.
Keempat, jika rumah terkena sihir, bacalah surah ini sebanyak 10 kali. Insya-Allah anda akan diberikan ilham atau petunjuk oleh Allah dimana terletaknya sihir itu. Kelima, jika membaca surah Al-Kautsar sebanyak 1000 kali, rezeki anda akan bertambah.
Keenam, jika rajin membaca surah Al-Kautsar, hati anda akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat. Ketujuh, jika seseorang itu telah teraniaya dan dipenjara, bacalah surah tersebut sebanyak 71 kali, Allah SWT akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.
Sumber: HIJABISTA