KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat kuning atau waspada akan berlaku di Kelantan serta Terengganu bermula esok hingga Jumaat ini.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata sembilan kawasan di Kelantan dijangka akan berhadapan hujan dijangka berterusan selama dua hari dan berpotensi banjir.
“Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
“Hujan lebat berterusan juga dijangka melanda seluruh negeri Terengganu untuk tempoh sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, angin dari arah timur laut berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.
Sumber: BERITA HARIAN