Wanita dalam Islam merupakan makhluk Allah yang memiliki banyak keistimewaan. Mereka daripada seorang anak yang akan membesar dewasa menjadi seorang isteri dan juga seorang ibu.
Seorang perempuan sangat dimuliakan peranannya dalam kehidupan sehinggakan Allah menamakan satu surah dengan Surah An-Nisa’ (surah perempuan-perempuan) bagi mengangkat golongan ini.
Pada zaman jahiliah wanita dipandang rendah, dibunug dan hanya dijadikan tempat untuk melepaskan hawa nafsu kaum lelaki. Pada zaman jahiliah, setiap orang tua yang melahirkan anak perempuan akan membunuh anaknya hidup-hidup.
(59) Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.
Oleh itu, Islam telah mengangkat darjat wanita sehingga diutamakan kedudukan ibu daripada ayah disebabkan ibu yang telah berkorban untuk melahirkan anak dengan penuh kesabaran.
Wanita dibolehkan memilih mana-mana pintu syurga yang mereka inginkan hanya dengan mematuhi perintah Allah dan taat kepada suami.
Sabda Baginda Rasulullah: Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki. (Hadis Riwayat Ibn Hibban 4163).
Begitulah tingginya kedudukan wanita dalam Islam yang patut dipelihara dan dijaga oleh kaum wanita itu sendiri. Berikut merupakan beberapa sifat wanita yang seharusnya ada pada wanita masa kini supaya maruah mereka sentiasa terjaga dan terpelihara.
1. Sifat Iffah
Iffah bermaksud menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak dibolehkan iaitu segala maksiat dan keburukan.
Islam menuntut seorang wanita itu memiliki sifat ‘iffah untuk menjadi seorang wanita yang ‘afifah. Akhlak ini merupakan sifat hamba-hamba Allah yang solehah yang sentiasa mengharapkan keredaanNya. Seorang wanita yang ‘afifah takut akan kemurkaan dan azabNya.
Allah berfirman di dalam Surah An-Nur ayat 31: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
Seorang wanita wajib menjaga diri mereka dalam apa juga keadaan.
2. Malu
Sifat malu merupakan salah satu daripada sifat yang terpuji dan ia merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman.
Sabda Baginda Rasulullah: Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan. (Hadis Riwayat Bukhari 9].
Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberikan ta’liq pada hadis ini, beliau mengatakan bahawa malu itu adalah satu sifat yang di dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan.
Sebagai seorang wanita sudah pasti perasaan malu itu lebih tinggi berbanding daripada kaum lelaki. Ini kerana Allah telah menciptakan sifat malu sebagai sifat semula jadi wanita.
Perasaan malu ini Allah rakamkan di dalam Al Quran Surah Al-Qasas ayat 25 apabila menceritakan mengenai kisah dua orang wanita yang dibantu oleh Nabi Musa untuk memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka lalu mereka mendatangi Nabi Musa dalam keadaan tersimpuh malu.
Firman Allah: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.
3. Lemah lembut
Antara sifat yang terpenting juga bagi seorang wanita ialah sifat lemah lembut. Ini bukan bererti wanita sentiasa ditindas namun dalam keadaan biasa sifat lemah lembut inilah yang menjadi cerminan keperibadian bagi seorang wanita.
Sabda Baginda Rasulullah apabila berpesan kepada Aisyah: Wahai Aisyah, hendaklah engkau bersikap lembut kerana sesungguhnya tidaklah sikap lembut itu ada pada sesuatu kecuali akan menjadi penghias, dan tidaklah ia terlepas dari sesuatu kecuali akan muncul keburukkan. (Hadis Riwayat Abu Daud 4174).
Kepada ibubapa, didiklah anak-anakmu dengan baik terutamanya ibubapa yang memiliki anak perempuan kerana ganjaran membesarkan dan mendidik mereka akan menjadi penghalang kepada api neraka.
Sumber: MSTAR