Ibn Hazm Hasilkan Teori Peredaran Darah Yang Tepat 300 Tahun Lebih Awal Daripada Sarjana Barat!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seorang pakar perubatan Islam, Ibn al-Nafis atau nama sebenarnya, Ala-al-din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi merupakan individu pertama yang menjelaskan sistem peredaran darah paru-paru (pulmonari) secara tepat.

Penemuan oleh pakar perubatan Islam itu kira-kira 300 tahun lebih awal daripada semua tokoh Barat seperti Galen, Michael Servetus dan Realdo Colombo.

Ibn Al-Nafis menerusi karya agungnya bertajuk “Syarah al Tashreeh al Qanoon” telah menjelaskan bahawa septum iaitu dinding antara dua ruang ventrikel jantung ialah otot pembahagi yang pejal dan tidak mempunyai rongga atau bukaan untuk membenarkan aliran darah menembusi antara dua ruang jantung.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh cendekiawan tersohor tersebut, aliran darah adalah dari ventrikel kanan ke paru-paru, yang mana udara bertemu dengan darah. Darah itu kemudian meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri, lalu masuk ke dalam ventrikel kiri jantung sebelum disebarkan ke seluruh badan.

Meskipun penemuan Ibn Al-Nafis begitu menakjubkan namun sejarah dunia perubatan tidak benar-benar mengenali beliau. Pada tahun 1924, seorang ahli perubatan Mesir, Muhyo Al-Deen Altawi menemui manuskrip figura tersohor itu di Perpustakaan Negeri Prussia, Berlin, Jerman.

Kemudian, hal tersebut telah sampai ke pengetahuan tokoh sejarah perubatan terkenal, Profesor Max Meyerhof.

Kemudian, Meyerhof telah mengiktiraf Ibn Al-Nafis sebagai individu pertama yang merungkaikan sistem peredaran darah paru-paru menerusi lukisan proses yang tepat.

Pemikiran Yang Terkehadapan

Menyingkap historiografi Ibn Al-Nafis secara ringkas, beliau dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 1213. Beliau dikenali tidak hanya sebagai pakar perubatan, tetapi seorang ahli teologi, sasterawan dan ulama Mazhab Syafie yang terkenal.

“Pada usia 16 tahun, Ibn Al-Nafis telah mempelajari bidang perubatan di Hospital Nuri di Damascus selama lebih 10 tahun, sebelum berpindah ke Mesir pada tahun 1236 atas permintaan Sultan Al-Kamil, pemerintah kerajaan Islam Ayubbiyah. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Perubatan di Hospital A-Naseri.

Sepanjang kehidupannya yang merentasi era kejatuhan Baghdad di tangan Mongolio dan juga kebangkitan kerajaan Mamluk, beliau telah menghasilkan banyak buku selain perubatan seperti buku undang-undang, falsafah dan alam sekitar.

Sesungguhnya, sumbangan Ibn Al-Nafis telah menunjukkan betapa ke hadapannya para cendekiawan Islam dalam meneroka ilmu pengetahuan.

Sumber: SINAR PLUS