COVID-19: 515 Kes Varian Delta Dikesan Sejak 25 November

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 515 kes baharu varian Delta dalam tempoh 25 November hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 415 kes baharu yang semuanya adalah varian membimbangkan (VOC) Delta berjaya dikesan oleh University Malaysia Sarawak’s Institute of Health and Community Medicine (IHCM-UNIMAS).

“Selain itu, Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenal pasti 46 kes baharu mempunyai varian Delta dan Institut Genom Malaysia (MGI) mengesan 44 kes varian sama.

“Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya (TIDREC) turut mengesan 10 kes varian Delta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penemuan itu sehingga kini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 4,692 dengan 4,672 kes adalah VOC, manakala 20 lagi kes VOI.

Secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 4,432 kes varian Delta, Beta (226 kes) dan Alpha (14 kes), manakala bagi VOI pula, terdapat 13 kes varian Theta, Kappa (4) dan Eta (3)

Sumber: Berita Harian