PBT, JKR Cameron Highlands Diminta Lakukan Pemantauan Menyeluruh Struktur Tanah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Cameron Highlands diminta melakukan pemantauan menyeluruh kepada struktur tanah di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata pemantauan ini perlu dilakukan secara berkala bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh atau pokok tumbang berlaku seperti sebelum ini.

“Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, kita minta JKR dan pihak PBT, apabila terdapat rekahan atau tanda-tanda retak atau sebagainya perlulah diletakkan netting (jaring perlindungan cerun) atau letakkan lining plastik.

“Ini dapat mengurangkan sementara, bukan boleh baik terus, tapi setidak-tidaknya boleh kurangkan hakisan bila melibatkan kawasan cerun,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Lepar.

Tambah beliau bagi pokok yang ditanam di kawasan tanah tinggi tersebut terutamanya di cerun, ia telah dipastikan tidak melebihi 18 inci.

“Pokok-pokok ini memang kita pastikan tidak akan melebihi 18 inci dan kita memang ada pakar berkaitan pokok untuk merawat, melihat, pokok yang sakit atau mati sebelum mengambil tindakan tebang.

“Tapi yang paling penting kita kena buat penyelenggaraan pokok secara kerap untuk memastikan pokok yang ada terutamanya di cerun ini berada dalam kondisi yang baik,” katanya.

Sekurang-kurangnya 11 kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Cameron Highlands pada 22 November lepas akibat daripada hujan lebat yang berlarutan di kawasan berkenaan.

Sumber: PAHANGMEDIA