Kisah Bacaan al-Quran Sebagai Mas Kahwin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pada suatu hari, ada seorang wanita datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata “Wahai Rasulullah, aku masih tidak mempunyai suami dan aku ingin menjadi seorang isteri yang baik. Apakah yang harus aku lakukan?”

Rasulullah SAW berdiam diri seketika sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki dan bertanya jika perempuan itu sanggup menerimanya sebagai seorang suami kepada dirinya.

Lalu Rasulullah SAW berkata “Adakah kamu mempunyai apa-apa untuk dijadikan sebagai mas kahwin kepada bakal isterimu?”

Lelaki itu berfikir dan berkata “Aku hanya mempunyai separuh dari kainku” sedangkan dia hanya memakai itu di sekeliling tubuhnya.

Rasulullah kemudian berkata “Jika kamu memberikan sebahagian dari kainmu itu, apakah yang akan kamu pakai, kerana kain itu akan menjadi miliknya. Carilah sesuatu yang lain.”

Lelaki tersebut berfikir. “Tidak ada apa pun yang boleh aku berikan kepadanya,” jawab lelaki tersebut. Hal ini disebabkan umat Islam ketika itu ramai yang miskin.

Rasulullah kemudiannya berkata, “Pergilah pulang ke rumah kamu dan carilah sesuatu  yang boleh diberikan sebagai mas kahwin walaupun hanya cincin besi.”

Lelaki tersebut pulang ke rumah dan tidak lama setelah itu dia kembali semula lalu berkata “Aku sudah mencari, tetapi tidak ada sesuatu pun yang boleh diberikan kepadanya sebagai mas kahwin.”

Setelah Rasulullah SAW berfikir, Rasulullah bertanya “Adakah kamu mempelajari al-Quran?” “Ya, aku mempelajari al-Quran dan surahnya,” jawab lelaki tersebut.

Rasulullah berkata “Ajarnya mengenai al-Quran dan ini akan menjadi mas kahwin buatnya.” Pasangan tersebut berpuas hati dengan cadangan baginda dan mereka pun dinikahkan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Wanita yang paling banyak mendapat kurnia adalah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya.” (Hadis Riwayat Hibban)

Sumber: UTUSAN TV