Sidang Dewan Negeri Pahang : Tiga Langkah Elak Pahang Terjebak Krisis Air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN, 7 DISEMBER 2021 : Pahang menyediakan tiga langkah proaktif bersifat jangka masa pendek dan panjang bagi mengelak berlakunya krisis air serius seperti yang berlaku di beberapa buah negeri lain.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah pertama ialah jaminan sumber air mentah melalui cadangan projek pembinaan off river storage (ORS) wier dan empangan yang dicadang dan diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Langkah kedua ialah menaiktaraf loji rawatan air dan penggantian paip-paip asbestos cement di mana paip-paip air lama dan uzur sering pecah. Ia dapat memastikan rizab loji rawatan air sedia ada menyalurkan bekalan air secara lebih stabil kepada pengguna.

“Ketiga ialah pembinaan loji rawatan air baru, sebagai contoh PAIP dan Kerajaan Negeri Pahang akan membina sebuah loji 400 juta JLH di Bukit Puling yang mana boleh menampung bekalan air Daerah Kuantan sehingga tahun 2040,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau menambah, cadangan program-program system bekalan air ini akan disenaraikan di bawah beberapa pembiaya iaitu Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), agensi-agensi kerajaan lain seperti FELDA, KPLB, Kerajaan Negeri, KASA dan lain-lain.

Dalam pada itu menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu berkenaan persediaan seperti sistem kecemasan ketika ketiadaan air terutamanya di kawasan perumahan, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata persediaan dilakukan mengikut perancangan semasa.

“Bekalan air berkait rapat dengan bekalan elektrik, jika ada gangguan bekalan elektrik akan menyebabkan gangguan bekalan air… setakat hari ini dari segi prestasi Paip telah menjalankan kerja dngan cekap.

“Tindakan jangka panjang dan pendek sudah pasti diambil, cuma bila ada gangguan sudah pasti ambil masa agak lama dan menuntut kesabaran lebih sedikit daripada penduduk di kawasan yang terlibat,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA