Sidang Dewan Negeri Pahang : 89 Peratus Orang Asli Di Pahang Lengkap Vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Seramai 89 peratus atau 45,345 Orang Asli di negeri ini telah menerima dos vaksin yang lengkap manakala 91.3 peratus atau 46,538 orang telah menerima dos pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, Negeri Pahang mempunyai jumlah penduduk Orang Asli terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu seramai 86,532 orang.

“Sehingga 9 November tahun ini, seramai 7,395 orang penduduk Orang Asli telah dijangkiti COVID-19 di mana peningkatan ketara dikesan sejak bulan Julai berikutan terdedah risiko jangkitan daripada tempat kerja dan pergerakan keluar masuk individu berisiko ke kampung Orang Asli.

“Justeru aktiviti pemerkasaan komuniti dalam membudayakan norma baharu serta liputan vaksinasi dalam kalangan Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa seramai 132,260 orang warga asing di negeri ini telah menerima vaksin dos pertama dan 121,265 orang telah menerima dos lengkap.

“Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan tiada warga asing yang tercicir daripada menerima vaksin di antaranya bekerjasama dengan jabatan, agensi atau individu berkepentingan dengan warga asing.

“Kita juga menyediakan kemudahan vaksinasi termasuk secara walk-in ke mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) ataupun aktiviti jangkau luar tanpa mengira status kewarganegaraan,” katanya.

Katanya lagi, promosi menggalakkan vaksinasi dalam kalangan penduduk termasuk warga asing sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Sumber: PAHANGMEDIA