Sidang Dewan Negeri Pahang : Kompleks Sukan Mini Di Pahang Barat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang telah menyenaraikan pembinaan sebuah Kompleks Sukan Mini di daerah Bentong dalam ‘Rolling Plan’ ke-2 Rancangan Malaysia Ke-12 dengan nilai permohonan sebanyak RM5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, usaha berkenaan dilakukan kerana pihaknya maklum berkenaan ketiadaan kompleks dan kemudahan sukan yang lengkap di bahagian Bentong Barat.

“Ia (permohonan pembinaan kompleks) menjadi keutamaan pihak jabatan namun ia bergantung kepada kelulusan tanah oleh pihak Pejabat Tanah dan Daerah Bentong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB. Puan Young Syefura Othman pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang.

Dalam pada itu beliau turut menjawab soalan ADN Ketari yang menyentuh berkenaan ketagihan dan penagihan dadah di kalangan belia yang masih bersekolah terutamanya di kawasan FELDA dengan memaklumkan bahawa pelbagai usaha telah dilaksanakan bersama agensi yang berkaitan.

“Antaranya ialah rondaan bersepadu melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama PDRM, Rela dan KRT yang dapat mengurangkan risiko berlakunya perkara yang tidak sihat dalam kalangan remaja di komuniti berkenaan.

“Kita berusaha mengatasinya kerana kita tidak mahu masalah ketagihan dadah ini menyumbang pula kepada pelbagai kes jenayah termasuklah pecah rumah, samun dan ragut di kawasan FELDA,” katanya. –

Sumber: PAHANGMEDIA