Enggan Divaksin, Polis Terima 141 Laporan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Datuk Shafien Mamat

Kota Bharu: Polis Kelantan menerima 141 laporan membabitkan lebih 300 individu yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga kini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, laporan itu dibuat atas tujuan tertentu sama ada untuk kegunaan majikan masing-masing atau memang disebabkan enggan divaksin.

“Kita dapati laporan berkaitan keengganan divaksin ini semakin meningkat dan daerah yang paling tinggi dikesan adalah Tumpat diikuti Kota Bharu.

“Laporan yang dibuat membabitkan individu daripada pelbagai latar belakang dan ada juga golongan profesional.

“Tujuan mereka membuat laporan ini tidak dapat dipastikan kerana selain untuk kegunaan jabatan bagi yang bekerja, ada juga yang gunakan laporan itu bagi memaklumkan mereka enggan divaksin,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja rasmi di IPD itu dan merasmikan rumah persatuan Keluarga Polis (Perkep) kontinjen Kelantan.

Mengulas mengenai suntikan penggalak membabitkan warga kontinjen Kelantan, Shafien berkata, seramai 2,374 kakitangannya sudah menerima suntikan itu dengan peratusannya sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, mengikut pecahan, 282 adalah dalam kalangan pegawai kanan, 1,899 daripada pegawai pangkat rendah manakala selebihnya anggota awam.

“Setakat ini kita tidak mengesan lagi kakitangan yang enggan terima dos penggalak walau suntikan itu tidak diwajibkan.

“Saya galakkan agar semua warga kami mendapatkan suntikan dos penggalak kerana dalam penugasan, mereka lebih terdedah dengan risiko jangkitan,” katanya.

Mengenai penemuan peluru di Kampung Kutan yang dipercayai berkaitan dengan kejadian tembak cermin kereta milik seorang pegawai penguat kuasa farmasi Isnin minggu lalu, Shafien berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat berkaitan suspek dan sedang menunggu laporan forensik.

“Kita akan siasat semua perkara sama ada mempunyai kaitan dengan kerja, persahabatan dan apa-apa perkara yang boleh membantu,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Sumber: My Metro