Sidang Dewan Negeri : Kerajaan Tubuh Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang menubuhkan Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang bagi membanteras aktiviti perlombongan haram, penebangan hutan yang tidak terkawal dan pencerobohan tanah.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, dengan penubuhan pasukan ini akan dapat membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan.
 
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri menyedari bahawa dunia sekarang sedang menuju ke satu jalan yang mengancam keselamatan manusia sejagat dengan fenomena perubahan iklim.
 
“Baru-baru ini, delegasi kerajaan negeri telah menghadiri Persidangan Perubahan Iklim (COP26) di Glasgow, Scotland. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah juga berangkat ke persidangan bagi membincangkan dan menetapkan garis panduan dan komitmen setiap negara bagi mengelakkan kadar suhu dunia tidak mencecah kenaikan paras maksima iaitu 1.5 darjah Celsius,” katanya.
 
Beliau berucap demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Selaras dengan hala tuju negeri dalam melaksanakan Environment, Social and Governance (ESG), Nature Based Solutions (NBS), Nature Based Business Models (NBBM) serta pembangunan yang selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) dalam sektor-sektor ekonomi berkaitan pelancongan, pertanian, dan perhutanan, kerajaan negeri membangunkan khazanah-khazanah negeri sedia ada dengan kelulusan kerajaan negeri berkaitan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Enakmen Biodiversiti Pahang.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada hasil kerajaan negeri dengan memberi fokus kepada sektor pelancongan di dalam Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur 2022.
 
“Dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negeri Pahang yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan negeri akan mempergiatkan aktiviti ekonomi antaranya aktiviti pelancongan domestik dan perhotelan,” katanya.
 
Di dalam strategi Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur 2022, kerajaan telah mengumumkan strategi Pelan Tranformasi sektor pelancongan ke arah yang lebih mantap bagi meningkatkan hasil kerajaan negeri.
 
“InsyaAllah, Jawatankuasa Pelancongan akan menggalas tanggungjawab ini dengan diperuntukan sebanyak RM8.4 juta agar penambahan kehadiran pelancong daripada 15 juta kepada 20 juta orang dan pertambahan perbelanjaan pelancongan daripada RM13 bilion kepada RM20 bilion setahun,” katanya. – PAHANGMEDIA