Sidang Dewan Negeri: Pahang Corp. Catat RM10.9 Juta Keuntungan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Pahang Corporation Sdn. Bhd. (Pahang Corp.) mencatatkan keuntungan selepas ditolak pulangan langsung dan tidak langsung kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2020 sebanyak RM6.8 juta dan sehingga September 2021 pula sebanyak RM4.1 juta keuntungan direkodkan.
 
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kumpulan Pahang Corp. juga telah menyalurkan sumbangan kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2020 sebanyak RM6,003,396 dan sumbangan bagi tahun 2021 (sehingga September) adalah sebanyak RM5,570,683.
 
“Antara aktiviti perniagaan utama yang diceburi kumpulan Pahang Corp. adalah Pengurusan Sumber Aset Kerajaan, Perkhidmatan Pengurusan Korporat, Pengurusan Sumber Air, Tenaga, Pengurusan Infrastruktur Utiliti dan Pembangunan Ekonomi Digital “Internet of Things” (IoT),” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Pahang Corp. merupakan sebuah syarikat induk milik penuh Kerajaan Pahang berperanan sebagai syarikat cabang pelaburan yang menceburi perniagaan-perniagaan baru dalam industri dan sektor strategik yang mempunyai potensi pulangan yang kompetitif kepada Kerajaan Negeri.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua anak syarikat Kerajaan Pahang mencatatkan keuntungan kecuali Pahang Go Sdn Bhd kerana syarikat ini masih berada dalam fasa pembangunan syarikat dan pembangunan sistem yang sedang berjalan.
 
Mengulas isu melibatkan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK), beliau berkata, sehingga Disember 2021, terdapat 590 kelulusan projek di bawah PSK dengan pembahagian sebanyak 258 projek bagi projek pembangunan, 236 bagi projek pertanian dan 96 bagi projek perternakan.
 
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 69 pembatalan projek telah dibuat berikutan kegagalan pihak syarikat untuk membangunkan projek-projek tersebut.
 
“Sebanyak 30 notis peringatan telah dikeluarkan di mana pihak PSK telah berjaya memperolehi tunggakan bayaran daripada 13 syarikat dan 3 tindakan mahkamah telah dimulakan kepada pihak syarikat yang gagal untuk respons kepada notis peringatan yang telah dikemukakan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA