Cari Jalan Atasi Masalah Nelayan Tanpa Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Kerajaan sedang berunding dengan kedutaan negara jiran untuk menyelesaikan isu nelayan tanpa negara yang berada di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, dianggarkan lebih 2,000 nelayan asing tanpa negara.

Beliau berkata, pihaknya kini juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membincangkan mengenai formula tertentu bagi menangani isu terbabit.

“Hampir 2,000 nelayan tanpa negara yang ada di negara ini dikenal pasti berasal daripada Myanmar, Vietnam dan Thailand dan ada yang sudah menetap di sini mencecah puluhan tahun.

“Ketibaan mereka di negara ini antara lain berpunca daripada tragedi tsunami suatu masa dahulu disebabkan tanah air mereka sudah musnah dan tiada saudara mara yang tinggal.

“Mereka masuk ke negara ini dan bekerja sebagai awak-awak namun apa yang menjadi masalah adalah ketiadaan dokumen diri malah yang menjadi lebih kusut adalah negara asal tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyatnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir di bengkel perusahaan Ayu Batik di Kampung Talak, di sini sempena rangka kerja lawatan di Kelantan.

Badrul Hisham berkata, sebelum ini lebih ramai nelayan asing dikesan di negara ini yang masuk dengan menggunakan ‘seaman book’ yang dikeluarkan oleh negara masing-masing dan bekerja dengan majikan di sini.

Badrul Hisham (dua kiri) melihat Pengurus Ayu Craft Kraftangan dan Hasil Rimba, Mahadi@Ibrahim Deraman (kiri) menunjukkan teknik menekap batik ketika melawat bengkel perusahaan Ayu Batik sempena rangka kerja lawatan di Kampung Talak. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Badrul Hisham (dua kiri) melihat Pengurus Ayu Craft Kraftangan dan Hasil Rimba, Mahadi@Ibrahim Deraman (kiri) menunjukkan teknik menekap batik ketika melawat bengkel perusahaan Ayu Batik sempena rangka kerja lawatan di Kampung Talak. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bagaimanapun ramai yang berjaya menyelinap pulang ke negara masing-masing walaupun sempadan negara masih ditutup berikutan pandemik Covid-19.

“Mereka sekarang berdepan dengan dilema kerana apabila sempadan negara tutup mereka tidak boleh kembali ke negara mereka dan selain tiada dokumen, mereka juga tidak ada negara sekali gus menyukarkan kita untuk sahkan kewarganegaraan mereka,” katanya.

Badrul Hisham berkata, jika rundingan bersama pihak kedutaan tidak berjalan lancar, pihaknya akan menggunakan mekanisme seperti yang dijalankan oleh Thailand iaitu mewujudkan pemberian pas sementara kepada pekerja sektor perikanan yang tidak mempunyai pengenalan yang sah atau pasport.

“Satu kad khas akan dikeluarkan dan mereka boleh digajikan di bawah majikan tertentu dengan jaminan majikan.

“Thailand berjaya menyelesaikan masalah itu dan kita akan cuba menggunakan kaedah ini cuma memerlukan perundingan serta data yang betul daripada pemilik bot,” katanya.

Sumber: My Metro