3 Lokasi Projek Perintis Bandar Sihat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi PLANMalaysia memilih tiga lokasi di negara ini sebagai projek perintis Bandar Sihat membabitkan peruntukkan RM1.5 juta.

Tiga lokasi yang dipilih di bawah program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2021 ialah bandar Jerantut, Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang, Selangor dan Taman Tasik Putra, Kulim, Kedah.

Timbalan Menteri KPKT Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangka ANMS untuk memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dengan menjadikan kesihatan sebagai satu keutamaan.

ANMS yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 11 November lalu akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dalam dua penggal iaitu penggal pertama bermula 2021 hingga 2025 dan penggal kedua bermula 2026 hingga 2030.

“Konsep bandar sihat yang ditetapkan bertujuan mewujudkan sebuah bandar yang membudayakan gaya hidup aktif melalui pelaksanaan persekitaran sosial dan fizikal serta memperkasakan komuniti yang sihat.

“Ia dilaksanakan melalui perancangan fizikal dan reka bentuk bandar dengan menyediakan kemudahan laluan pejalan kaki, laluan basikal, landskap, peralatan senaman, papan informasi kesihatan dan kemudahan untuk warga emas,orang kurang upaya dan kanak kanak,” katanya selepas merasmikan Projek Bandar SihatJerantut di dataran Uptown Jerantut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLAN Malaysia Datuk Mohd Faizal Hamzah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut Khairun Nissa Aris.

Ismail berkata, pemilihan lokasi untuk projek ini berdasarkan pencapaian Indeks Kemanpanan Bandar yang diukur melalui jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar dan Luar Bandar Malaysia (MURNInets), potensi lokasi serta komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan projek ini.

“Diharap dengan adanya Bandar Sihat ini, ia dapat menyokong agenda pembangunan hijau dan bandar mampan disamping meningkatkantahap kesihatan dan mental penduduk.

“Malah ia juga bertepatan ketika dunia menghadapi impak perubahan iklim yang memerlukan setiap negara melaksanakan program memperlahankan proses peningkatan suhu,” katanya.

Sumber: My Metro