Pasir Puteh: Tiga pintu kawalan air pasang surut di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA) bersiap sedia mengawal air berlebihan akibat hujan lebat pada musim tengkujuh ini.
Pengarahnya Nik Hamadi Nik Abdullah berkata, tiga pintu kawalan air itu terletak di dua jajahan Pasir Puteh iaitu Terusan Gong Kulim dan Sungai Semerak manakala satu lagi di jajahan Bachok iaitu Sungai Pengkalan Petah.
“Kami sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku kejadian banjir dengan dibantu rumah pam yang dibina di kawasan-kawasan berdekatan pintu kawalan air berkenaan.
“Ketiga-tiga pintu kawalan air ini berfungsi menutup terusan atau sungai apabila paras air laut iaitu Laut China Selatan lebih tinggi dari daratan dan pintu ini dibuka melepaskan air dari daratan apabila paras air lebih tinggi dari paras air laut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Sebelum ini, pintu kawalan air itu berfungsi secara manual iaitu dikawal dan dipantau oleh kakitangan Ibu Pejabat IADA di Kota Baharu sebelum digunakan secara automatik pada 28 Januari 2015.
Sumber: My Metro