Mangsa Banjir di Kelantan Menurun, Cuaca Makin Baik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 3,534 mangsa membabitkan 1,026 keluarga pagi ini, berbanding 4,298 mangsa petang semalam berikutan cuaca semakin baik.

Semua mangsa banjir ditempatkan di 47 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir itu terdiri 2,235 lelaki dan wanita, bayi dan kanak-kanak (1,299), warga emas (154) dan 22 orang kurang upaya (OKU).

Jumlah mangsa di Gua Musang turun kepada 793 orang di enam PPS, berbanding semalam 2,530 orang dengan 10 PPS juga sudah ditutup.

Mangsa banjir di Kuala Krai dan Pasir Mas bertambah sedikit masing-masing kepada 1,615 orang di 29 PPS serta 911 orang di lapan PPS.
Selain itu, mangsa di Jeli turun kepada 114 orang dan Tanah Merah 101 orang masing-masing di dua PPS.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, menunjukkan terdapat tujuh jalan yang masih ditutup iaitu tiga di Kuala Krai dan masing-masing dua di Tanah Merah dan Machang.

Antara jalan yang ditutup adalah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai, Kampung Kuala Hau-Temangan, Jalan Machang- Pangkal Meleret- Wakaf Bata di Machang serta Jalan Tanah Merah- Kusial- Kampung Ipoh dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah di Tanah Merah.

Sumber: BERITA HARIAN