Banjir : 2.4 Tan Bekalan Keperluan Asas Dihantar Ke Bentong

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sebanyak 2.4 tan bekalan keperluan asas dan barang makanan akan dihantar kepada penduduk yang terjejas banjir di sekitar Bentong.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Encik Zulkhari Zainol Abidin berkata bantuan yang disalurkan menggunakan helikopter itu telah mula diagihkan bermula semalam.

“Kita di JKM menguruskan penghantaran bekalan keperluan melalui helikopter ke Lanchang iaitu ke kawasan yang terputus hubungan.

Anggota bomba membantu mengangkat barangan keperluan asas untuk dihantar ke kawasan banjir

“Kita hantar barang-barang seperti selimut, tuala, air, lampin pakai buang, tikar, pelitup muka, kain pelikat dan lain-lain lagi kepada beberapa kawasan yang telah dikenalpasti terputus hubungan,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, YBhg. Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, setakat ini dua buah helikopter milik JBPM telah digunakan untuk mengagihkan barangan ini.

“Semalam kita mendapat khidmat pesawat jenis AW189 yang telah membawa 900 kilogram (kg) barangan bantuan ini ke Karak dan bandar Bentong.

“Hari ini kita guna helikopter jenis AW138 yang membawa barangan sebanyak 1,180 kg ke Karak, tol Lanchang, dan Bentong.

“Kita mula menghantar bekalan ini bermula semalam memandangkan keadaan cuaca yang mengizinkan penerbangan dilakukan,” katanya.

Sebanyak 41,455 mangsa banjir dipindahkan ke 278 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini melibatkan 11,151 keluarga setakat 4 petang ini.

Sumber: PAHANGMEDIA