10,000 Ikan Sangkar Terlepas, Mati Akibat Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Krai: Pengusaha ikan sangkar di pinggir Sungai Kelantan rugi hampir RM30,000 selepas 10,000 ikan tilapia, patin dan baung diternak terlepas dan mati akibat banjir sejak lima hari lalu.

Rohaimin Yusoff, 49, berkata, dia menternak pelbagai jenis ikan dalam 35 petak sangkar namun, satu sangkar yang mempunyai 7,000 ikan patin terlepas apabila tali pengikat putus dilanggar balak hanyut dan arus deras, Sabtu lalu.

Katanya, hampir 3,000 ikan talipia dan baung pula mati kelemasan selepas bercampur air selut banjir.

“Ikan patin yang terlepas itu sudah matang dan sedia untuk dijual kepada peniaga. Saya pula berada di Kuala Lumpur ketika kejadian kerana ada majlis keluarga.

“Bagai nak luluh jantung apabila pekerja memaklumkan sangkar hanyut dan ikan mati.

“Pada Jumaat (lalu) apabila hujan berterusan, semua sangkar ikan sudah diikat pada pokok di tebing tetapi ia beralih apabila paras sungai makin naik hingga empat meter,” katanya ketika ditemui di kawasan sangkar ikannya di Kampung Batu Lada di sini, hari ini.

IKAN yang mati di dalam sangkar akibat kekurangan oksigen selepas paras air sungai naik berikutan hujan yang berterusan beberapa hari lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
IKAN yang mati di dalam sangkar akibat kekurangan oksigen selepas paras air sungai naik berikutan hujan yang berterusan beberapa hari lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Menurutnya dia menternak ikan sangkar sejak awal Januari lalu bagi menambah pendapatan keluarga selepas perniagaan kereta terpakai yang diusahakan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana masih ada ikan yang dapat diselamatkan.

“Kebanyakannya ikan keli yang diletakkan di lebih 10 petak sangkar dan masih berkeadaan baik,” katanya yang menjadikan kerugian itu sebagai pengalaman dan pengajaran untuk lebih bersedia menjelang musim tengkujuh.

Sumber: My Metro