Rahsiaku Di Negeri Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

“Okay semua, sampai di sini sahaja kelas kita hari ini. Selamat bercuti pertengahan semesta buat semua pelajar. Jangan lupa tugasan berkumpulan untuk menulis laporan mengenai satu negeri yang kamu pernah terokai. Semua boleh bersurai,” nasihat Puan Husna selaku pensyarah subjek Sejarah di Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

Setelah Puan Husna bergerak keluar dari kelas, Kamal menyimpan buku nota yang ditulisnya ke dalam beg sandang miliknya. Azam yang duduk di belakang kerusi Kamal segera menepuk bahu kanan Kamal. Kamal terperanjat.

“Aduh, terkejut aku! Main sergah je kau ni. Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau tak dah lama aku kerjakan kau Azam!” ujar Kamal dengan nada yang tidak berpuas hati.

“Aku tepuk macam tu pun kau terkejut. Kau tengah fikir apa?” soal Azam kepada Kamal.

“Tak ada apalah. Jomlah balik,” ajak Kamal.

“Eh, sekejap Kamal! Aku sebenarnya nak ajak kau balik ke kampung aku di Kuala Terengganu esok. Bolehlah kau kenal-kenal negeri Terengganu. Sebelum ni pun kau selalu cakap nak datang ke Kuala Terengganu kan. Bolehlah juga kita siapkan tugasan Puan Husna. Tak seronoklah kalau asyik Google je pasal negeri Terengganu. Orang kata apa, jauh perjalanan, luas pemandangan. Jomlah,” ajak Azam dengan suara yang bersungguh-sungguh.

Kamal terdiam sebentar dan kelihatan berfikir sesuatu sebelum akhirnya dia bersetuju. Tiba-tiba dia teringat janji temu tarikh pemeriksaan kesihatannya pada minggu hadapan di Hospital Kuala Lumpur.

“Tapi, aku tak boleh lama-lama ikut kau balik ke Kuala Terengganu. Aku ada urusan yang aku tak boleh elak di Kuala Lumpur,” ujar Kamal dengan perasaan serba salah.

“Tak apalah. Asalkan kau ikut aku balik ke Kuala Terengganu,” ujar Azam.

“Bila kita nak pergi beli tiket kat stesen bas?” soal Kamal. 

“Beli tiket online je. Senang, mudah dan pantas. Tak perlu bazir duit bayar Grab, tak perlu bazir masa beratur beli tiket dan tak perlu bazir tenaga. Beli online ni kadang-kadang lebih jimat sebab ada diskaun juga,” jelas Azam.

“Betul juga tu. Balik rumah nanti kita sama-sama beli tiket online.”  Mereka berdua beriringan keluar dari kelas dan berjalan pulang menuju ke hostel.

Malam itu, Azam menghubungi ibunya iaitu Puan Ramlah di kampung untuk memberitahu ibunya tentang seorang rakannya akan mengikutinya pulang ke Terengganu bersama dirinya. Puan Ramlah amat gembira mengetahui bahawa kawan baik Azam yang selalu diceritakan di dalam telefon ingin datang ke negeri Terengganu. Malam itu, mereka berjaya menempah tiket dan mula mengemas pakaian untuk pulang ke negeri Terengganu.

Keesokannya, tepat jam 9 pagi mereka berdua telah menaiki bas yang telah ditetapkan pada tiket bas. Sepanjang perjalanan, Kamal hanya tertidur. Apabila bas mula memasuki daerah Kuala Terengganu, Azam membangunkan Kamal dari tidur. Kamal bangun dan melihat pembangunan di negeri Terengganu sangat pesat seperti di Kuala Lumpur. Ketika bas melalui jambatan Sultan Mahmud, Kamal melihat masjid yang pernah dilihatnya di dalam media sosial Twitter.

“Azam, cantiknya masjid tu. Nama apa masjid tu? Aku lupalah,” soal Kamal.

“Oh… tu Masjid Kristal. Masjid Kristal tu ada di dalam kawasan Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man. Masjid Kristal ni cantik dan menarik disebabkan ianya dibina dengan menggunakan kaca dan keluli. Masjid tu dibina di tebing sungai Terengganu. Kalau kau nak tahu, Masjid Kristal tu dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008,” jawab Azam.

“Ha, aku dah ingat! Hari tu aku ada baca pasal Masjid Kristal ni kat Twitter! Masjid Kristal ni tak silap aku ianya ikon utama pelancongan negeri Terengganu kan? Masjid Kristal ni masjid ketiga tercantik di dunia dan diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di negara Malaysia. Hebat juga pembangunan di negeri Terengganu ini,” ujar Kamal dengan nada yang begitu teruja.

Bas mula bergerak masuk ke tengah bandar negeri Terengganu dan berhenti di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Azam dan Kamal bergerak turun dari bas dan duduk di ruangan menunggu. Sementara menunggu ayah Azam menjemput mereka, Kamal melilaukan matanya di seluruh stesen bas itu dan terlihat sebuah bas yang sangat unik.

“Azam, bas apa tu? Cantiknya ukiran bas tu!” ujar Kamal dengan perasaan kagum dengan keunikan pada bas itu.

“Oh, nama bas tu… “Bas Kite”. Kat bahagian luar bas tu ada ukiran rumah tradisional Terengganu. Aku naik bas tu dah banyak kali. Kalau dari bahagian luar bas tu, nampak macam tradisional tapi kat bahagian dalam lengkap dengan macam-macam kemudahan… Contohnya wifi, skrin LED Televisyen dan tingkap yang direka khas kepada penumpang untuk menikmati panorama kat Terengganu. Dekorasi dalam bas tu pun menarik juga sebab ada lukisan batik, songket dan ukiran kayu larik kat pemegang tangga bas. Semuanya melambangkan negeri Terengganu.”

“Wah, menarik-menarik…” Jawab Kamal teruja.

“Eh jomlah Kamal! Ayah aku dah sampai tu.” ujar Azam sambil jarinya menunjukkan kereta Proton Saga lama milik ayahnya yang berwarna kelabu. Meskipun kereta itu keluaran tahun 1991 dan telah lama digunakan, namun kereta itu masih gah di atas jalan raya.

Kamal dan Azam serentak menggalas beg sandang mereka dan berjalan ke arah kereta ayah Azam.

Sesampai dirumah, Azam memperkenalkan Kamal dengan ibunya, iaitu Puan Ramlah. Azam bersalaman dengan ibunya.

“Kamal buatlah rumah ni macam rumah kamu. Jangan segan-segan. Nak apa-apa minta je kat makcik atau Azam,” ucap Mak Cik Ramlah sebelum berjalan masuk semula ke dapur.

Kamal hanya mengangguk. Azam menunjukkan biliknya yang akan dikongsi dengan Kamal. Azam keluar sebentar membantu ayahnya membasuh kereta Proton Saganya di halaman rumah dan menyuruh Kamal mengemaskan pakaiannya dan berehat sebentar di dalam bilik.

Sebaik sahaja susuk tubuh Azam hilang di muka pintu, tiba-tiba Kamal memegang dadanya yang terasa sesak. Kamal mula berasa bimbang jika penyakitnya datang lagi. Hari ni dia terasa begitu penat meskipun dia tidak banyak berjalan. Tekaknya juga terasa kahak sepanjang masa. Matanya juga terasa gatal dan mula berair. Dia menganggap mungkin disebabkan habuk dari luar rumah sebentar tadi yang terkena matanya. Dia segera masuk ke dalam bilik Azam dan ingin berehat sebentar di atas katil Azam namun dia terlelap.

Jam menunjukkan pukul 4 petang, Azam membangunkan Kamal untuk solat zohor dan bersedia untuk solat Asar sebentar nanti.

Setelah mereka menunaikan solat Zohor dan Asar, Azam mengajak Kamal duduk di pangkin di luar rumah sebentar. Puan Ramlah menghidangkan makanan petang seperti keropok lekor, satar dan kuih nganang. Semua kuih tersebut adalah kuih tradisional Terengganu dan dikenali Kamal namun dia tidak pernah melihat kuih yang satu itu. Dia bertanya pada Mak Cik Ramlah tentang kuih itu.

“Mak cik, boleh saya bertanya. Kuih ini nama apa?” soal Kamal pada Mak Cik Ramlah.

“Itu kuih ulat bulu. Cubalah makang. Sedap mokcik buat… Sekali makan pasti nok lagi.”

Jelas kedengaran loghat Terengganu dari percakapan Mak Cik Ramlah. Kamal mengambil satu kuih itu dan memasukkan ke dalam mulutnya.

“Sedapnya kuih ni mak cik,” ujar Kamal pada Mak Cik Ramlah.

“Makanlah… Banyak lagi tu kat dapur. Mak cik saja je masak lebih supaya kamu dan Azam boleh makan,” kata Mak Cik Ramlah sambil menuangkan air teh ke dalam cawan Kamal dan Azam.

“Ibu, nanti kita orang nak pergi ke Seberang Takir. Azam nak lawat atuk dan nenek kat sana dengan Kamal. Dah lama tak lawat mereka. Boleh kan bu?” pinta Azam pada Mak Cik Ramlah.

 “Pergilah… Elok juga kamu lawat atuk dan nenek kamu tu, mesti dia orang rindu dengan kamu. Tapi jangan lupa bawa sikit kuih Nekbat Sira dan kuih Ulat Bulu ini nanti pada mereka. Ada sikit lagi kat dapur. Ibu masak lebih kuih tu tadi.”

“Baik ibu. Jomlah Kamal… Kita kena cepat ni sebab takut sampai kat sana lewat petang pulak,” gesa Azam.

Setelah Azam dan Kamal membungkuskan kuih yang dimasak oleh ibu Azam, Azam bersalaman dengan ibunya dan mereka meminta izin untuk pergi.

Mereka berdua menaiki motosikal yang sama iaitu motosikal jenama Honda EX5 Dream versi New Old Stock (NOS).

Perjalanan dari Pulau Duyong ke Kampung Seberang Takir dengan menaiki motosikal mengambil masa hanya 10 hingga 15 minit sahaja jika menaiki motosikal. Sebaik sahaja motosikal yang dinaiki Azam dan Kamal memasuki Pantai Seberang Takir, Kamal yang hanya menjadi pembonceng di belakang melihat pemandangan di Pantai tersebut yang turut dikenali dengan nama Pantai Miami.

Kamal menepuk bahu Azam yang menunggang motosikal dihadapannya. Dia menguatkan suara supaya dapat didengari oleh Azam akibat tiupan angin yang kuat dari arah pantai Miami.

“Azam cantiknya pantai Miami ini! Tapi kenapa nama pantai ini Miami?” soal Kamal.

“Pantai kat sini terkenal dengan beberapa nama… contohnya Takir Bay dan Pantai Seberang Takir. Tapi orang Terengganu kat sini panggil nama pantai ini dengan panggilan pantai Miami disebabkan keindahan dan landskap pantai ni yang seakan sama dengan Miami Beach di United Stated (US).

“Wah menariknya. Aku pun rasa seolah-olah aku menunggang motosikal kat pantai Miami US sekarang ni,” balas Kamal bersama helaian ketawa.

Sebaik sahaja motosikal yang dinaiki Azam dan Kamal memasuki Kampung Seberang Takir, Kamal yang hanya menjadi pembonceng di belakang melihat pemandangan di Seberang Takir yang turut dikenali sebagai perkampungan nelayan yang terletak di muara Sungai Terengganu dan terletak di sepanjang pesisir Laut China Selatan.

“Azam, banyaknya bot nelayan di kampung ini,” ujar Kamal.

“Kampung Seberang Takir terkenal sebagai perkampungan nelayan. Kat kampung ni banyak aktiviti tangkapan ikan, menjemur ikan bagi menghasilkan ikan kering, membuat keropok lekor dan banyak lagi. Ramai pengunjung dari negeri lain dan pelancong dari negara luar yang datang ke kampung ni bagi melihat sendiri keindahan kat kampung ini,” jawab Azam.

Motosikal yang dinaiki mereka berhenti di halaman sebuah rumah kayu. Kelihatan seorang lelaki di pertengahan usia duduk di bawah pondok buluh yang dibina di tepi rumah menghampiri mereka. Azam dan Kamal bersalaman dengan atuk Azam. Mereka duduk di bawah pondok buluh tersebut.

“Atuk buat apa ni?” soal Azam apabila melihat banyak tali jala di atas pangkin pondok.

“Atuk tengah baiki jala ni. Jala koyak kenalah baiki supaya ikan dok terlepas,” jawab Pak Ismail.

“Eh, Azam lupa nak bagi kuih Nekbat Sira dan kuih Ulat Bulu ni! Ibu masak sendiri kuih ni,” ujar Azam sambil menghulurkan kuih tersebut pada atuknya.

“Atuk… mana nenek?” soal Azam kembali selepas atuknya mengambil kuih tersebut dari tangan Azam.

“Bagi tahu ibu, atuk ucap terima kasih. Nenek ada kat dapur. Nenek mu tadi pun ada masak kuih Cek Mek Molek dan kuih Tahi Itik. Rasanya tadi pun jiran sebelah pun ada bagi kuih Tok Aji Serban dengan kuih Tepung Kapur. Ada lagi tu atas meja kat dapur. Pergilah makan,” ujar Pak Ismail.

Azam sudah terbiasa dengan panggilan “mu” yang sememangnya digunakan oleh orang pantai timur untuk merujuk pada orang lain yang berada di hadapannya yang membawa maksud kau atau awak. Kamal disebelah Azam tercengang-cengang mendengar nama kuih-kuih tersebut yang tidak dikenalinya itu dari percakapan atuk Azam.

“Kami baru je makan tadi kat rumah ibu. Kenyang lagi ni. Atuk lepas ni nok pergi mana? Nok pergi jeti ke?” soal Azam.

“Ye. Atuk nok pergi jeti lepas ni. Nok ikut ke?” soal Pak Ismail.

“Nok ikutlah atuk pergi Jeti. Boleh tolong atuk bawa jala-jala ni ke jeti. Sekali boleh bawa Kamal pergi jalan-jalan kat sana pulak,” jawab Azam sambil mengerling ke arah Kamal.

Kamal disebelah hanya tersengih-sengih di hadapan Azam dan Pak Ismail.

Sampai sahaja di jeti, Azam dan Kamal meletakkan jala-jala yang dibawa oleh mereka di atas jeti kayu berdekatan bot atuknya. Kamal terpegun melihat bot milik atuknya. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah menaiki bot apatah lagi pergi ke laut untuk menangkap ikan.

“Atuk, macam mana atuk buat bot ni?” soal Kamal pada Pak Ismail yang juga dipanggil atuk seperti Azam.

“Atuk buat bot ni dok guna paku. Atuk buat bot ni guna cara tradisional iaitu pakai pasak. Atuk guna kayu pokok gelam yang dilapik pada susunan papan yang dipasak. Susunan kayu pada dinding bot, atuk guna kayu yang dilentur menggunakan api. Baru tahan lama dan kukuh. Bot pun dok cepat rosak atau mudah masuk air. Binaan di bahagian jurumudi, atuk guna kayu seraya sebab kayu tersebut lebih murah berbanding kayu cengal. Berbeza dengan kayu pokok gelam yang atuk dan nelayan lain boleh beli atau cari di daerah Kuala Nerus atau Setiu untuk membuat bot nelayan secara tradisional. Atuk dah boleh jimat sikit duit dari situ.” 

Kamal dan Azam tekun mendengar dan sesekali menganggukkan kepala mereka berulang kali tanda memahami penjelasan panjang lebar atuknya mengenai bot nelayan di kampung itu.

“Jom, kita balik. Hari dah nak dekat maghrib ni. Nanti nenek mu bising pula balik rumah lambat,” ajak Atuk.

“Baik atuk,” jawab Azam dan Kamal serentak.

“Malam nanti aku nak bawa kau ke satu tempat yang menjadi kebanggaan negeri Terengganu baru-baru ni.”

“Tempat apa tu?” soal Kamal.

“Drawbridge atau lebih dikenali dengan jambatan angkat. Drawbridge tu dekat sangat dengan daerah Seberang Takir ni. Jambatan angkat tu menyambungkan dua kawasan. Satu kawasan kat pusat bandar Kuala Terengganu dan satu kawasan lagi kat Seberang Takir. Biasanya orang yang nak pergi ke Seberang Takir atau Kuala Nerus akan naik jambatan angkat tu. Lepas kita pergi tengok Drawbridge, kita balik terus ke rumah ibu aku di Pulau Duyong.”

“Wah, Drawbridge! Aku selalu tengok gambar Drawbridge kat media sosial. Aku nak sangat tengok Drawbridge dari jarak dekat. Mesti cantikkan macam di Tower Bridge, London. Aku ada baca keistimewaan Drawbridge ni. Drawbridge dipanggil jambatan angkat disebabkan kawasan tengah antara dua menara itu boleh diangkat dan ditutup semula apabila kapal ingin melalui kawasan tersebut. Drawbridge juga merupakan jambatan angkat yang paling panjang dalam dunia dan merupakan satu-satunya jambatan angkat di Asia Tenggara.”

“Ha, betul tu. Kalau kau nak tahu jugak, Drawbridge juga ada keistimewaan lain. Pengunjung boleh masuk ke dua menara Drawbridge menggunakan tiket yang perlu dibeli. Di hujung menara itu, pengunjung boleh berjalan di atas dek tinjau yang berlantaikan kaca di bahagian dinding dan di bawah tapak kaki. Jadi, pengunjung bukan sahaja boleh tengok pulau dan bandar Kuala Terengganu tetapi boleh juga melihat laut di bawah kaki ketika berjalan di atas lantai kaca tersebut.

“Wah, menariknya!  Aku nak pergilah naik menara tu nanti bila aku datang semula ke Kuala Terengganu. Aku nak bawa sekali drone aku kat rumah aku di Kuala Lumpur. Mesti lagi cantik ambil gambar dari pemandangan atas menggunakan drone pada waktu siang atau malam,” kata Kamal dengan sebaris senyuman.

“Eh, tak boleh! Drawbridge telah mewartakan satu larangan mengambil gambar dengan menggunakan drone di kawasan Drawbridge. Sebab banyak drone telah terbabas dan telah melanggar menara dan kawasan cermin kaca skybridge tersebut sewaktu pembukaan jambatan ini. Tapi kalau kau nak terbangkan jugak drone, kau perlu minta kebenaran dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terlebih dahulu.”

“Oh, tak apalah kalau macam tu! Aku ambil gambar guna kamera telefon dan kamera Canon aku jelah kalau macam tu. Gambar Drawbridge tetap cantik kalau gunakan kamera apa pun,” jawab Kamal.

Malam itu, mereka menaiki motosikal Honda EX5 Dream Azam mengelilingi Drawbridge berulang kali. Kamal yang hanya menjadi pembonceng di belakang Azam tidak putus-putus mengambil gambar Drawbridge menggunakan kamera di telefonnya. Dia begitu kagum melihat pemandangan Drawbridge pada waktu malam. Drawbridge kelihatan sangat cantik dengan lampu yang dipasang pada menara Drawbridge membuatkan jambatan angkat tersebut kelihatan gah dan memukau mata sesiapa sahaja yang memandang. Setelah puas berjalan-jalan di Drawbridge, mereka terus pulang ke rumah Azam di Pulau Duyong.

Keesokan paginya, Azam dan Kamal bersiap-siap untuk pergi ke destinasi seterusnya iaitu Kampung Cina. Sebelum mereka bertolak, mereka makan nasi dagang yang dimasak oleh Puan Ramlah. Nasi dagang merupakan makanan tradisional dan sememangnya popular di negeri Terengganu. Setelah itu, mereka berdua pergi ke Kampung Cina.  

“Apa yang menarik di Kampung Cina ni?” soal Kamal sambil melilaukan matanya di seluruh pintu gerbang Kampung Cina tersebut.

“Kalau kau nak tahu, inilah satu-satunya Kampung Cina di Kuala Terengganu. Kampung ni merupakan sebuah penempatan kaum Cina tertua dan mengikut sejarah, Kampung Cina ini telah wujud sejak abad ke-15 lagi. Kewujudan Kampung Cina ini juga telah menjadi satu bukti bahawa adanya hubungan perdagangan antara kerajaan Terengganu dan kerajaan China sejak dahulu lagi. Kawasan Kampung Cina ini juga telah diwartakan sebagai tapak warisan UNESCO Bangsa-Bangsa Bersatu kerana identiti dan nilai-nilai sejarah yang ada disini cukup bernilai untuk warisan negeri.”

Kamal menganggukkan kepalanya mendengar penjelasan Azam sambil melilaukan matanya pada seluruh bangunan di Kampung Cina tersebut yang masih mengekalkan senibina klasik. Kamal merasakan dirinya seolah-olah kembali ke sebuah pekan zaman silam. Kamal melihat terdapat beberapa kedai seperti kedai cenderamata, kedai runcit, kedai kopi dan sebagainya yang memperlihatkan budaya masyarakat Cina di kampung ini. Azam membawa Kamal berjalan-jalan di di Lorong Kenangan Payang atau Payang Memori Lane untuk bergambar dengan mural-mural menarik di Kampung Cina.

Selepas menunaikan solat zohor, Azam membawa Kamal berjalan-jalan pula ke Pantai Batu Buruk.

“Negeri Terengganu ada banyak pantai. Kenapa kau bawa aku ke Pantai Batu Buruk? Lagi satu kenapa pantai ini namanya Pantai Batu Buruk. Batu di pantai ini tak cantik ke?” soal Kamal sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Ayah aku selalu bawa aku ke pantai ni masa aku umur 6 tahun. Banyak kenangan aku kat sini. Mengikut sejarah, pantai Batu Buruk diberi nama sebegitu disebabkan adanya batu-batu yang membentuk pulau kecil yang timbul di dalam laut bertentangan dengan pantai. Batu-batu itulah yang digelar Batu Buruk. Pantai ni juga ada nilai sejarah penting. Negara kita tidak melalui zaman Mesolitik disebabkan bukti dari penemuan Gendang Gangsa atau Gendang Dong-Son dijumpai kat pantai ni.”

“Wah, menariknya! Apa yang menarik ada kat sini?” soal Kamal kembali sambil melilaukan matanya ke semua arah di pantai itu.

“Ada banyak aktiviti di pantai ni. Antaranya naik kereta kuda berhias, bermain layang-layang dan ada aktiviti menunggang permainan bermotor iaitu ATV di pesisir pantai ini. Fasiliti di pantai ini juga lengkap seperti adanya tandas awam, tapak pameran, trek jogging, dan sebagainya,” jawab Azam.

“Wah, siap ada ATV lagi di pantai ni. Seronoknya. Tapi…,” Kamal mula berasa murung. Ada sesuatu yang disembunyikan dari Azam.

“Tapi kenapa? Kau nak menunggang ATV ke?” soal Azam sambil melihat Kamal dengan pandangan pelik.

“Eh, taklah!” bohong Kamal.

Azam mula menduga sesuatu. Dia menarik tangan Kamal menuju ke tempat menjual tiket ATV. Oleh kerana Kamal menolak berulang kali dari menaiki ATV tersebut, Azam terpaksa membawa ATV tersebut manakala Kamal hanya membonceng di belakang. Azam sengaja membawa laju ATV tersebut kerana kelihatan Kamal seperti takut untuk menaiki ATV tersebut. Permainan ATV sememangnya dikenali sebagai sukan lasak. Jeritan Kamal di belakang ketika Azam membawa laju ATV tersebut membuatkan Azam ketawa.

Sebaik sahaja Azam memberhentikan ATV tersebut, kelihatan Kamal di belakang mula bermuka pucat. Sesekali Azam terlihat Kamal asyik memegang dadanya. Sebaik ditanya akan keadaan sahabatnya itu, Kamal hanya mengatakan dirinya baik-baik sahaja dan hanya takut untuk menaiki lagi ATV. Selepas itu, Kamal mengajak Azam pulang atas alasan dia sakit perut. Azam tidak banyak bicara dan menuruti sahaja permintaan sahabat baiknya itu.

Malam itu, Kamal menulis laporan tugasan subjek Sejarah tersebut mengenai apa yang dilaluinya ketika berada di negeri Terengganu. Sesekali batuknya kedengaran memecah kesunyian di bilik Azam. Azam masih di dalam bilik air yang terletak di dapur. Mengikut perancangan, esok Azam akan membawa dirinya melawat muzium negeri Terengganu di Bukit Losong.

Ketika Kamal menyiapkan laporannya tiba-tiba dia terasa sakit dadanya mula menyerang dan dia mula terasa sesak nafas. Kamal mula berjalan menghampiri beg galasnya untuk mencari alat sedutannya atau dipanggil inhaler dalam bahasa Inggeris. Alatan sedutan berupaya untuk melega dan meluaskan otot saluran udara tetapi bukan inflamasi.

Ketika dia menjumpai alat sedutannya di dalam beg, dia cuba untuk menekan alat sedutannya tetapi dos di dalam alat sedutannya hanya mengeluarkan sedikit dos dan habis. Kamal mula panik dan dia cuba berjalan keluar ke pintu namun dia terlanggar beg yang diletakkan di atas lantai dan terjelopok ke atas lantai kayu rumah Azam. Dia mula terkapai-kapai kerana mengalami kesesakan nafas. Mujurlah ketika itu Azam baru sahaja masuk ke dalam bilik dan sebaik sahaja melihat Kamal tertiarap di atas lantai, Azam terus menerpa ke arah sahabatnya dan membawa sahabatnya ke hospital.

Oleh kerana ayah Azam ketika itu tiada di rumah kerana bekerja lebih masa, Azam terpaksa membawa Kamal ke hospital dengan menaiki kereta Proton Saga ayahnya. Lampu Kecemasan atau Hazard Lamp terus dipasang oleh Azam sepanjang perjalanan membawa Kamal ke Hospital.

Sebaik sahaja sampai di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kamal terus dibawa masuk ke bahagian kecemasan oleh jururawat. Azam menghubungi bapa saudara Kamal di Kuala Lumpur dan memberitahu keadaan Kamal. Bapa saudaranya sangat terkejut dan akan segera bertolak ke negeri Terengganu.

Setelah setengah jam, doktor keluar dari bilik kecemasan dan berjumpa dengan Azam. Menurut doktor keadaan Kamal baik-baik sahaja kerana Azam cepat membawanya ke hospital. Namun, Kamal perlu ditahan di hospital selama satu hari untuk dipantau keadaan kesihatannya. Azam hanya bersetuju dengan saranan doktor. Sebaik doktor beredar, Azam menjenguk Kamal di dalam wad. Sebaik melihat Azam, Kamal terus menghulurkan tangannya pada Azam.

“Aku minta maaf sebab tak beritahu kau awal-awal tentang penyakit aku. Aku sebenarnya ada penyakit asma dari aku lahir sampai aku umur 10 tahun. Lepas tu doktor beritahu aku dah sembuh dari penyakit asma. Tapi sejak aku masuk Universiti, aku sedar penyakit asma aku datang semula sebab aku selalu sesak nafas, batuk dan adakalanya sampai aku demam. Aku takut nak beritahu keluarga aku tentang penyakit asma aku sebab aku tak nak ibubapa aku kembali risaukan aku. Aku pun tak nak beritahu kau sebab aku tak nak menyusahkan kau dan buat kau risau sepanjang masa. Nanti kau dah tak nak ajak aku naik ATV lagi di pantai Batu Buruk dan tak nak ajak aku lagi datang ke negeri Terengganu. Aku nak balik cepat ke Kuala Lumpur sebelum ini disebabkan aku ada temujanji dengan doktor aku di Kuala Lumpur,” ujar Kamal dengan linangan air mata.

“Kenapa kau tak beritahu aku. Kau tak perlu tanggung sendiri penyakit kau. Aku tak tahu kau ada penyakit asma. Aku pula pergi paksa kau naik ATV dengan kau berisiko terdedah dengan habuk pasir. Patutlah aku tengok muka kau pucat semacam,” jawab Azam dengan perasaan bersalah.

“Tak apa. Kau tak salah. Aku yang bersalah sebab tak beritahu kau. Lagipun aku memang dah lama nak naik ATV itu cuma aku selalu tak berkesempatan.”

“Eh, kau ni Kamal! Bahayalah. Kalau kau pengsan masa naik ATV tu macam mana. Aku pula panik tak tahu nak buat apa. Kau perlu juga beritahu keluarga kau tentang penyakit kau ni. Inilah padahnya bila kau rahsiakan penyakit kau dari semua orang. Aku dah beritahu juga bapa saudara kau di Kuala Lumpur. Dia akan datang ke negeri Terengganu untuk melawat kau dan bawa kau pulang ke Kuala Lumpur.”

“Baik Azam. Kau jangan marah aku. Aku akan beritahu keluarga aku tentang penyakit aku bila mereka balik dari umrah,” ujar Kamal bersama suara ketawa yang perlahan.

“Laporan aku dah siap tulis untuk bahagian aku. Nanti kau balik nanti, kau buka laptop aku dan tulis bahagian kau pergi ke muzium Negeri Terengganu pula.”

“Tentang laporan kau janganlah risau. Nanti aku akan siapkan yang selebihnya. Kau cuma perlu berehat dan fikirkan tentang kesihatan kau sahaja.”

Setelah cuti pertengahan tamat, semua kembali semula ke Universiti. Puan Husna menyukai laporan tugasan berkumpulan yang ditulis oleh Azam dan Kamal kerana maklumat yang diberikan lengkap serta turut diberikan bukti gambar sebagai sokongan maklumat.