340 Pemancar Telekomunikasi Di Pahang Terjejas Akibat Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Sebanyak 340 pemancar telekomunikasi di seluruh Negeri Pahang telah terjejas akibat banjir yang melanda sejak ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia melibatkan perkhidmatan talian dari syarikat perkhidmatan Telco seperti Celcom, Digi, Maxis, Umobile, Webe dan YTL.

“Punca utama yang menyebabkan banyak rangkaian telekomunikasi terjejas adalah kerana lokasi-lokasi menara, pemancar dan sekitarnya telah dinaiki air banjir dan menyebabkan bekalan elektrik terpaksa diputuskan sementara oleh pihak TNB,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, daripada sejumlah 340 pemancar itu, sebanyak 114 pemancar telah berjaya diaktifkan semula.

“Usaha sedang giat dilaksanakan Kerajaan Pahang bersama SKMM dan syarikat perkhidmatan Telco untuk mengaktifkan semula baki pemancar sebaik sahaja keadaan mengizinkan dan lokasi pemancar boleh diakses kenderaan.

“Saya juga mendapatkan maklumat terkini berkenaan komunikasi di Negeri Pahang dari Pengarah SKMM Pahang, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar genset segera dihantar pihak SKMM ke lokasi pemancar yang telah surut air untuk menghidupkan elektrik ke menara sementara menantikan pihak TNB berusaha membaiki semula pencawang dan power supply milik mereka yang rosak di menara komunikasi milik SKMM.

“Selain itu, sebanyak 24 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Pahang juga terpaksa di tutup, kebanyakkannya kerana laluan ke PEDi terputus apabila dinaiki air dan daripada jumlah tersebut 5 PEDi yang terletak di Bentong (1) dan Kuantan (4) telah dimasuki air.

“Banjir sememangnya terjadi setiap tahun di negeri Pahang. Namun keadaan kali ini adalah berbeza dan diluar jangkaan kita semua kerana taburan hujan yang turun menyamai purata taburan untuk sebulan dan ia hanya terjadi 100 tahun sekali.

Saya berharap semua penduduk yang mengalami gangguan komunikasi termasuk internet ini agar bersabar sementara waktu dan memahami segala usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan Pahang dan SKMM,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA