Penoreh Getah Maut Ditimpa Pokok Tumbang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tanah Merah: Penoreh getah ditemukan meninggal dunia dipercayai ditimpa batang pokok getah reput di Kampung Air Sejuk, Kelewek di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang tadi menimpa mangsa yang juga warga Thailand, Anisa Latif, 36, ketika sedang menoreh getah seorang diri di kebun milik penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, mayat wanita itu ditemui suaminya selepas keluar mencari mangsa kerana disedari masih belum pulang ke rumah mereka.

“Suami mangsa menjumpai wanita itu dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dengan terdapat darah yang keluar daripada mulut serta hidungnya.

“Lelaki itu segera menghubungi pihak hospital dan pemeriksaan yang dijalankan di tempat kejadian mendapati wanita itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zainuddin berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebatang pohon getah sudah reput yang dipercayai menimpa mangsa.

Katanya lagi, pihaknya tidak menjumpai sebarang unsur jenayah berlaku dan mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber: My Metro