Objek Ditemui Wanita di Marang Bukan Muntah Ikan Paus – Jabatan Perikanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perikanan Negeri Terengganu hari ini mengesahkan ketulan objek yang ditemui seorang wanita ketika sedang memancing di perairan Marang pada akhir Nov lepas bukan muntah ikan paus.

Pengarahnya Ruzaidi Mamat berkata pihaknya telah mengambil sampel ketulan tersebut daripada wanita itu pada 15 Dis lepas untuk dianalisis di makmal Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau berkata hasil uji kaji penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun dan UMT mendapati bahawa objek tersebut bukan muntah ikan paus kerana tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif iaitu ‘ambrein’, ‘epicoprosterol’ dan ‘coprostanone’ di dalamnya.

“Sebaliknya, kandungan yang dijumpai pada sampel itu mendapati ia terbentuk daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak lalu membentuk ketulan sedikit berfiber (berserabut).

“Secara saintifiknya, peratusan terbanyak yang terkandung di dalam ketulan tersebut ialah Pyrazole (94.56 peratus) dan Pyrrole (3.34 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber: AWANI