Mangsa Banjir di Kuantan Rugi lebih 100 Juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Anggaran kerugian yang dialami mangsa banjir yang berdaftar di daerah ini adalah lebih RM100 juta, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.

Menurutnya, jumlah kerugian tersebut belum termasuk lagi infrastruktur awam seperti jalan rosak.

“Kita anggarkan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) di sini mengalami kerugian antara RM10,000 dan RM12,000 atau lebih, yang membabitkan 7,491 KIR.

“Kerugian ini tidak termasuk infrastruktur di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MBK (Majlis Bandaraya Kuantan),” katanya selepas meninjau keadaan Taman Makmur Mahkota Jaya, di sini yang ditenggelami banjir sehingga 1.5 meter, hari ini.

Turut serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin.

Mengulas mengenai operasi kutipan sisa banjir katanya, sebanyak 500 tan sampah dikutip setiap hari melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), MBK dan Alam Flora Sdn Bhd.

Beliau juga sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang untuk melaksanakan kerja pembersihan dalam tempoh dua minggu selepas banjir.

“SWCorp akan memantau kerja pembersihan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Abd Rahim berkata, pada 19 Disember lalu sebanyak 169 rumah di Taman Makmur Mahkota Jaya ditenggelami air sedalam 1.5 meter, berbanding 0.5 meter pada 5 Januari lalu, yang menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka terancam.

“Hasil perbincangan bersama MBK dan pemaju perumahan, sistem perparitan di taman ini akan diperbesarkan dan pembinaan benteng yang lebih kukuh akan dibina bagi mengatasi masalah banjir,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO