Jurulatih Singapura Letak Jawatan Selepas Gagal Bawa Pasukan Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pengendali dari Jepun, Tatsuma Yoshida telah mengambil keputusan untuk letak jawatan sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Singapura apabila gagal membawa pasukan itu mara ke final Piala Suzuki AFF 2020 selepas tewas kepada Indonesia beberapa hari lalu.

Perkembangan tersebut disahkan oleh Straits Times dan diumumkan sendiri oleh Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Edwin Tong dalam satu majlis penghargaan di Stadium Jalan Besar hari ini.

Walaupun mempunyai baki kontrak sehingga Disember 2022, Yoshida mengambil keputusan tersebut untuk bertanggungjawab di atas kegagalannya memenuhi harapan penyokong Singapura melihat pasukan mereka beraksi di pentas akhir di Stadium Nasional.

Dalam satu interview dengan Straits Times, beliau turut mengesahkan akan kembali ke negaranya kerana telah menerima tawaran daripada beberapa kelab Jepun termasuk kelab liga divisyen 2, Ventforet Kofu yang pernah dilatih olehnya pada tahun 2017.

Yoshida dilantik sebagai Ketua Jurulatih Singapura pada bulan Mei 2019. Sepanjang dibawah bimbingannya, Singapura telah mencatat keputusan 6 kemenangan, 4 seri dan 10 kekalahan dalam 20 perlawanan antarabangsa yang diharungi.

Mereka telah menamatkan saingan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 di tangga kedua dan layak ke separuh akhir sebelum tewas kepada Indonesia dengan aggregat 5-3 dalam perlawanan yang cukup dramatik.

Perlawanan penting yang bakal diharungi oleh pasukan itu selepas ini ialah saingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.

Sumber: VOCKET FC