Jumlah Mangsa Banjir di Pahang Menurun Kepada 7,730 Mangsa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di Pahang sehingga jam 10 pagi tadi terus menurun kepada 7,730 orang daripada 2,301 keluarga yang ditempatkan di 72 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Daerah Temerloh merupakan paling ramai mangsa iaitu seramai 3,302 orang daripada 1,021 keluarga berada di 13 PPS diikuti Pekan 1,802 mangsa daripada 577 keluarga dipindahkan ke 24 PPS dan Bentong dengan 1,518 mangsa daripada 372 keluarga dipindahkan ke 17 PPS.

Manakala, Daerah Maran dengan 589 mangsa daripada 177 keluarga dipindahkan ke 14 PPS, Kuantan 487 mangsa daripada 141 keluarga dipindahkan ke 3 PPS manakala Bera 32 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan ke 1 PPS.

“Musibah banjir ini juga telah mengorbankan 20 orang mangsa daripada Kuantan, Pekan, Temerloh, Raub dan Bentong,” katanya.
Beliau berkata, jalan yang ditutup di seluruh negeri ini juga meningkat kepada10 jalan melibatkan lapan daerah disebabkan banjir dan juga tanah runtuh.

Di Pekan, Jalan Kuantan – Segamat dan Jalan Pelak – Belimbing, Bentong, Jalan Southern Loop, Jerantut, Jalan Kuala Lipis – Jerantut, Maran, Jalan KL – Kuantan, Raub, Jalan Ulu Dong, Temerloh, Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok, Kuantan, Jalan Sungai Lembing dan Daerah Lipis, Jalan Bentong – Gua Musang.

Sumber: PAHANGMEDIA