Balai Polis Bergerak Mudahkan Mangsa Banjir Buat Laporan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menyediakan dua bas dijadikan balai polis bergerak yang ditempatkan di lapan lokasi secara penggiliran bermula semalam hingga 12 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata ia bagi memudahkan orang awam membuat laporan berkaitan banjir tanpa perlu hadir ke balai polis.

Beliau berkata balai bergerak akan beroperasi jam 8.30 pagi hingga 11.30 malam, justeru orang awam boleh membuat laporan masing-masing di kemudahan yang disediakan.

Kemudahan akan ditempatkan di Flat Valencia pada jam 8.30 hingga 11.30 pagi; Flat Mediterranean (12.30 tengah hari hingga 3.30 petang); Apartment Aurora (4.30 petang hingga 7.30 malam); Pangsapuri Damai (8.30 malam hingga 11.30 malam); GT Max Kedai Motosikal Seksyen 25 (8.30 pagi hingga 11.30 pagi).

Bank Simpanan Nasional Seksyen 25 (12.30 tengah hari hingga 3.30 petang); Public Bank Seksyen 25 (4.30 petang hingga 7.30 malam) dan Petron Seksyen 25 (8.30 malam hingga 11.30 malam).

Dalam pada itu, Baharudin memaklumkan dua Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga akan digerakkan khusus di kawasan Seksyen 25 bagi memudahkan mangsa yang tidak mempunyai kenderaan untuk membuat laporan polis.

Katanya, ia secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah mangsa ke balai polis untuk membuat laporan berkaitan banjir.

“IPD Shah Alam sentiasa peka dan prihatin dalam membantu mangsa banjir untuk mempermudahkan lagi urusan membuat laporan polis.

“Justeru warga Shah Alam yang menjadi mangsa banjir, boleh buat laporan polis di balai bergerak dan juga dengan bantuan MPV/URB di lokasi mereka berada,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 15,899 laporan diterima IPD Shah Alam membabitkan laporan kerugian serta kerosakan harta benda akibat banjir di daerah ini pada 18 Disember lalu.

Sumber: Berita Harian