Waspada Hujan Lebat Berterusan Di Lapan Negeri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya) di lapan negeri di utara, pantai timur, selatan Semenanjung serta Sabah, hari ini.

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran itu dikeluarkan ekoran luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Katanya, amaran hujan sangat lebat berterusan atau peringkat merah (bahaya) dikeluarkan membabitkan tiga daerah di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang serta Terengganu iaitu di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

“Selain itu, Pahang iaitu di Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor iaitu di Mersing dan Kota Tinggi.

“Hujan sangat lebat berterusan peringkat bahaya di empat negeri itu dijangka berlaku sepanjang hari ini,” katanya.

Katanya, amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga (buruk) dikeluarkan membabitkan tujuh lagi daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.

“Selain itu, Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera) serta Johor (Segamat dan Kluang).

“Amaran hujan berterusan di semua lokasi berkenaan berkuat kuasa sehingga esok,” katanya.

Sementara itu, katanya amaran hujan berterusan peringkat kuning atau waspada dikeluarkan untuk negeri Perlis, Kedah ((Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), serta di Raub dan Bentong, Pahang.

Amaran hujan berterusan peringkat waspada turut membabitkan enam daerah di Johor iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru dan amaran itu berkuat kuasa sehingga esok.

“Amaran hujan berterusan peringkat waspada turut membabitkan beberapa kawasan di Sabah iaitu Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan), Kudat dan Pantai Barat (Ranau).

“Amaran hujan berterusan di negeri berkenaan berkuat kuasa sehingga 2 Januari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi berkata angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.

“Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 2 Januari ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian