Pelepasan Cukai Ringankan Beban Kewangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Kesedaran mengenai kepentingan mendapatkan pelepasan cukai perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat kerana ia akan memberikan semula penjimatan kepada pembayar cukai.

Ketua Percukaian Malaysia, Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd, Farah Rosley, berkata pelepasan cukai ialah pengurangan sejumlah wang yang dikeluarkan pada tahun taksiran daripada jumlah pendapatan tahunan.

Beliau berkata, pelepasan cukai ini adalah untuk aktiviti dan keperluan tertentu yang digalakkan oleh kerajaan atau perkara yang dapat meringankan beban kewangan.

Pelepasan cukai katanya, dapat membantu mengurangkan cukai pendapatan yang dikenakan terhadap seseorang.

“Jika ia dirancang dengan betul, sejumlah besar cukai dapat dijimatkan.

“Kerajaan memberikan banyak pelepasan cukai kepada rakyat seperti untuk gaya hidup, pelancongan domestik, kesihatan, peranti elektronik dan juga yuran pendidikan.

“Namun, kadangkala ramai yang masih keliru dan tidak tahu mengenai pelepasan cukai ini. Justeru, pembayar cukai perlu sentiasa melihat senarai pelepasan cukai terkini.

“Caranya mudah, hanya pergi ke portal Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan semak senarai pelepasan cukai,” katanya.

Terdapat empat kumpulan utama yang boleh membuat tuntutan pelepasan cukai, iaitu individu berstatus bujang, pasangan berkahwin, mempunyai ibu bapa sebagai tanggungan dan mereka yang mempunyai anak.

Farah berkata, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab membayar cukai pada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan dan mereka juga layak untuk mendapat pelepasan cukai dengan syarat dokumen sokongan seperti resit sentiasa disimpan untuk tujuan audit jika diperlukan.

Katanya, pada era digital ketika ini, banyak resit pembelian sama ada melalui kedai fizikal atau dalam talian menggunakan resit elektronik.

Justeru, tiada lagi alasan kehilangan resit kerana kebanyakannya kini adalah resit digital yang boleh disimpan di dalam komputer atau e-mel.

“Pelepasan cukai dapat mengurangkan bayaran cukai kepada LHDN berdasarkan kadar cukai pendapatan.

“Kriteria untuk pelepasan cukai juga tertakluk kepada jenis pelepasan cukai yang dituntut. Setiapnya mempunyai syarat yang perlu dipatuhi,” katanya.

Mengulas lanjut, Farah berkata, pembayar cukai juga perlu memahami apakah kepentingannya cukai ini kepada negara dan juga rakyat.

Beliau berkata, cukai yang dikutip oleh kerajaan menyumbang hampir 70 peratus kepada pendapatan negara melalui cukai langsung dan cukai tidak langsung.

Hasil daripada cukai itu katanya, akan digunakan semula bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

“Cukai yang kita bayar, akan digunakan semula untuk kita juga. Disebabkan itu atas cukai yang perlu dibayar, kerajaan berikan semula pelepasan cukai.

“Ia ibarat pemberian semula kepada pembayar cukai bagi sesetengah perbelanjaan yang diperlukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian