Rumah Orang Asli Roboh Akibat Banjir Akan Dipercepatkan Pembinaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN: Pembinaan rumah baharu untuk keluarga Orang Asli yang roboh akibat banjir di Kampung Cendahan, di Kampung Gumum, di sini akan dipercepatkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Mohd Sharim Md Zain berkata perkara ini telah pun diangkat ke pengetahuan pihak Kerajaan Pahang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau berkata pihaknya telah merujuk kepada pihak Kerajaan Pahang melalui saluran yang disediakan untuk mempercepatkan pembinaan rumah berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Mohd Sharim Md Zain bersama Pengerusi JPKKOA Kampung Gumum, Puan Nashita Dewi K. Paramananthan menghantar bantuan kepada penduduk kampung itu yang rumah mereka roboh akibat banjir.

“Saya turun meninjau (kawasan ini) apabila dimaklumkan oleh pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, apabila semalam dimaklumkan dua keluarga di Kampung Cendahan telah roboh kesan daripada banjir melanda minggu ini.

“Dan kita sangat prihatin dengan masalah yang berlaku ini, dan kita dah angkat masalah ini ke pihak Kerajaan Negeri dan JAKOA untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya kepada dua keluarga ini, di mana ia melibatkan seorang bapa tunggal dan seorang lagi ibu tunggal.

“Kita akan pastikan dua keluarga ini mendapat bantuan yang sewajarnya untuk dapat bina rumah baharu melalui Kementerian Luar Bandar dan juga JAKOA,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Mohd Sharim Md Zain bersama Pengerusi JPKKOA Kampung Gumum, Puan Nashita Dewi K. Paramananthan menyantuni penduduk kampung itu yang rumah mereka roboh akibat banjir.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada penduduk di Kampung Cendahan, Kampung Tanjung Puput, dan Kampung Tanjung Samed di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang mangsa rumah yang runtuh, Puan Lisom Entet berkata dia mengharapkan sebuah rumah baharu dapat dibina bagi menggantikan rumahnya yang roboh.

“Rumah saya tumbang. Macam mana saya nak buat, saya tak tahu sebab saya lepas ke sana (PPS). Sekarang duduk rumah anak juga, anak sulung, dia dah pindah ke Kampung Gumum. Jadi saya tumpang duduklah rumah dia dah dia pun tak pakai rumah ni.

“Kalau boleh, kalau Kerajaan nak buat (rumah), mintalah buat, tolong buat. Tapi kalau tak nak buat, apa boleh buat, tak boleh nak paksa,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Puan Nashita Dewi K. Paramanantham berkata kejadian ini merupakan kejadian pertama kali berlaku disebabkan banjir.

“Sekarang kawasan ini jadi pulau, terkepung. Air dekat depan, jalan darat pun tertutup sebab ada air. Rumah runtuh ini kejadian yang pertama berlaku di Kampung Gumum ini.

“Di sini, yang terputus hubungan, ada 19 keluarga, yang (rumah) tenggelam, kita ada dalam sembilan buah keluarga, dan yang dipindahkan ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) ada 16 keluarga,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA