Umrah Ditangguhkan Sementara Berkuat Kuasa 8 Januari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa, hari ini.

“Jemaah umrah pula perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel tertentu seperti dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula 3 Januari (Isnin ini).

“Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini hingga 7 Januari depan, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel seperti dikenal pasti oleh NADMA apabila tiba di Malaysia.

“Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri). Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

“Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian