94 Peratus Struktur Komunikasi Terjejas Banjir Telah Diaktifkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sebanyak 94 peratus daripada 571 struktur komunikasi yang terjejas akibat banjir selepas ditenggelami air di seluruh Pahang telah berjaya diaktifkan semula oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
 
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerja-kerja mengaktifkan semula struktur pemancar itu telah dilaksanakan hasil kerjasama daripada Kerajaan Pahang, Tenaga Nasional Berhad (TNB), syarikat Telco dan beberapa pihak lain.


 
“Masalah ini berpunca apabila struktur pemancar tersebut ditenggelami banjir di mana TNB terpaksa memutuskan sementara bekalan elektrik sehingga air banjir surut dan kerja membaiki kerosakan dapat dilaksanakan.


“Bagi lokasi yang tenggelam, pihak Telco telah berjaya mengambil tindakan pantas menggantikan peralatan elektronik yang rosak dengan yang baru serta menghantar genset sebagai bekalan tenaga elektrik sementara bagi memastikan sistem komunikasi dapat diaktifkan dengan segera untuk kepentingan rakyat,” katanya.
 
Menurutnya, pihak kerajaan sering berhubung dengan Pengarah SKMM Pahang, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor bagi memastikan permasalaha berkaitan telekomunikasi dapat diatasi segera.

“Saya berharap semua penduduk yang mengalami gangguan komunikasi termasuk internet ini agar dapat bersabar kerana kerajaan bersama SKMM sentiasa berusaha untuk memastikan enam peratus baki struktur komunikasi ini dapat diaktifkan semula dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA