Omicron Cetus Kesan ‘Long COVID-19’ Antara 20-30 Peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Penularan varian Omicron perlu dibendung kerana dikhuatiri berupaya mencetuskan risiko ‘long COVID-19’ atau kesan kesihatan berpanjangan antara 20 hingga 30 peratus terhadap individu dijangkiti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika mengutarakan kebimbangan sedemikian berkata Omicron sememangnya dilaporkan kurang ganas berbanding varian sebelum ini seperti Delta.

Bagaimanapun, katanya, varian yang berasal dari Afrika Selatan itu mempunyai kemampuan untuk menjangkiti lebih ramai individu dalam tempoh singkat.

“Walaupun dilaporkan kurang keganasan (atau virulens) tetapi lebih ramai boleh dijangkiti dalam masa yang singkat.

“Mereka yang rentan lebih berisiko untuk masuk ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

“Walaupun tiada gejala atau mengalami gejala ringan, virus ini boleh sebabkan kesan long COVID-19 antara 20 hingga 30 peratus.

“Ini yang kita bimbang juga. Kita perlu banyak data-data semasa untuk menilai kesan impak varian Omicron ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Omicron yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November tahun lalu kini dikesan di sekurang-kurangnya tujuh negeri di Malaysia, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Hasil saringan dan pengesahan lanjut menerusi ujian jujukan penuh (WGS), Malaysia setakat semalam merekodkan 64 kes Omicron serta lima kluster membabitkan varian berkenaan, selain 35 kontak rapat di 12 daerah.

Sumber: BERITA HARIAN