Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Mangsa banjir di negeri ini menunjukkan peningkatan kepada seramai 2,572 mangsa daripada 740 keluarga yang ditempatkan di 55 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Daerah Temerloh mencatatkan paling ramai mangsa iaitu seramai 625 orang daripada 209 keluarga berada di lima PPS diikuti Lipis 539 orang daripada 148 keluarga dipindahkan di 16 PPS dan Kuantan 357 mangsa daripada 86 keluarga dipindahkan di enam PPS.

Selain itu, Rompin mencatatkan seramai 390 mangsa daripada 110 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, Raub 279 mangsa daripada 84 keluarga di 12 PPS, Jerantut 185 mangsa daripada 48 keluarga di empat PPS, Pekan 113 mangsa daripada 33 keluarga di dua PPS dan Bera 14 keluarga daripada empat keluarga di satu PPS.

Jumlah kumulatif mangsa di seluruh negeri ini direkodkan seramai 67,723 mangsa daripada 18,332 keluarga yang telah dipindahkan ke 439 PPS.

Manakala seramai 21 orang mangsa telah terkorban akibat banjir daripada Daerah Kuantan, Pekan, Temerloh, Raub dan Bentong.

Beliau berkata, sebanyak sembilan jalan ditutup ekoran kenaikan paras air di lapan daerah melibatkan daerah Bentong, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Pekan, Raub dan Temerloh.

Di Bentong, Jalan Southern Loop, Jerantut, Jalan Kuala Lipis – Jerantut, di Kuantan, Jalan Sungai Lembing, Lipis, Jalan Bentong – Gua Musang, di Maran, Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, Daerah Pekan, Jalan Kuantan – Segamat, di Raub, Jalan Ulu Dong dan Temerloh, Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok.

Sumber: PAHANGMEDIA