Syor Kaji Semula Definisi Rasuah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Seorang pakar kriminologi menyarankan definisi rasuah dikaji semula supaya konsep atau makna frasa itu difahami dengan lebih jelas dan menyeluruh, mengambil kira landskap semasa.

Dr Zalmizy Hussin berpandangan, meskipun ia kedengaran remeh, langkah itu mustahak memandangkan modus operandi rasuah semakin berbeza dengan zaman sebelum ini

Jelas Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, pembaharuan mesti dilakukan segera bagi memastikan individu terbabit jenayah berkenaan dapat diheret ke muka pengadilan.

Dr Zalmizy Hussin.
Dr Zalmizy Hussin.

“Definisi rasuah perlu diteliti dan dikaji semula memandangkan modus operandinya kini semakin unik. Pembaharuan dalam definisi rasuah dapat memastikan individu yang terpalit dengan sebarang bentuk rasuah dapat didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas persoalan mengenai pelbagai bentuk habuan yang boleh menjadi satu cubaan untuk mengaburi pihak berkuasa berbanding modus operandi dahulu yang lebih cenderung kepada pemberian dalam bentuk hadiah, wang tunai, percutian atau aset tetap.

Berhubung desakan pelbagai pihak yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen, Zalmizy menyokong pembaharuan itu segera dilaksanakan bagi mengembalikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan.

Apa yang mustahak, katanya, adalah pengukuhan integriti dalam empat fungsi pembahagian kuasa utama yang meliputi pemerintah, perundangan, kehakiman dan pihak berkepentingan.

“Apabila keempat-empat cabang ini diperkukuhkan, maka gejala rasuah dapat dibanteras. Namun pembaharuan yang dicadang itu membabitkan peranan Parlimen dalam memerangi rasuah yang perlu segera dilaksanakan. Sebagai sebahagian daripada fungsi perundangan, pengawasan dan perwakilan, Parlimen mempunyai peranan penting dalam memerangi rasuah.

“Dari aspek perundangan, Parlimen boleh memainkan peranan seperti menggubal undang-undang integriti untuk Ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan pastikan undang-undang ini dikuatkuasakan. Sokongan padu rakyat dan mandat yang jelas daripada pucuk pimpinan adalah dituntut untuk meneruskan segala reformasi memerangi rasuah secara berkesan,” katanya.

Sumber: Berita Harian