Hukum Solat Berjemaah Di Masjid Atau Di Rumah (Lelaki & Wanita)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Umat Islam semestinya mahu merebut ganjaran solat berjemaah kerana pahalanya yang lebih banyak jika dibandingkan dengan solat bersendirian di rumah. Namun begitu, apakah hukum solat berjemaah di masjid atau di rumah? Manakah yang lebih afdal?

Hukum Solat Berjemaah

Bagi yang mempunyai masa yang lapang pasti memilih untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Namun terdapat juga bagi sesetengah orang yang mempunyai kekangan masa tertentu dan hanya melakukan solat jemaah di rumah.

Persoalannya, yang manakah lebih afdal antara solat jemaah di rumah bersama anak dan isteri atau jemaah di surau atau di masjid? Adakah pahala lebih banyak jika melakukan solat secara jemaah di masjid atau di surau berbanding berjemaah di rumah?

Hukum Solat Berjemaah Bagi Lelaki

Menjawab persoalan tersebut, asal hukum solat bagi lelaki adalah solat berjemaah di masjid. Ini adalah berdasarkan banyak hadis-hadis daripada Nabi Muhammad SAW seperti sabda baginda: “Solat berjemaah itu lebih besar pahalanya daripada solat sendirian iaitu 27 ganjaran.” (Sahih al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain ada menyebut 25 ganjaran. Begitu banyak pahala solat berjemaah. Al-Hafiz Ibn Hajar menyimpulkan 27 ganjaran bagi solat yang dibaca secara jahar (kuat iaitu Subuh, Maghrib dan Isyak). Manakala, 25 ganjaran pula pada solat sir (Zuhur dan Asar).

Sudah tentu pahala dan kebaikan untuk lelaki adalah di masjid atau surau tempat dia mendirikan solat secara berjemaah berkenaan. 

Hukum Solat Berjemaah Bagi Wanita

Tempat yang paling afdal bagi wanita untuk solat adalah di rumahnya. Ini disebabkan pahalanya lebih banyak daripada solat di masjid seperti hadis sahih Riwayat Imam Ahmad.

Namun, ianya tidak menjadi satu kesalahan jika wanita hadir ke masjid untuk menuntut ilmu. Selagi ianya aman daripada fitnah dan kerosakan, tidak menjadi kesalahan untuk wanita hadir ke masjid kerana nabi tidak sesekali melarang wanita hadir ke masjid.

Jika sekali-sekala berjemaah di rumah juga, ia tidaklah menjadi satu kesalahan untuk menghidupkan rumah dengan jemaah dan bacaan al-Quran.

Sumber: SINAR HARIAN