80 Peratus Mangsa Banjir Terima Bantuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Hampir 80 peratus mangsa banjir di negeri ini telah menerima Bantuan Wang Ihsan yang diagihkan sejak awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata, seramai 49,394 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir telah didaftarkan bagi menerima bantuan berkenaan setakat ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin

“Seramai 39,255 orang daripada keseluruhan KIR telah menerima bantuan setakat ini di mana mereka terdiri daripada mereka yang terkesan banjir dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara serta mangsa banjir yang tidak berpindah.

“Mereka yang tidak berpindah ini telah memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau pejabat daerah sebelum pembayaran dibuat oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU),” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pengagihan bantuan berkenaan sedang giat diuruskan setiap Pejabat Daerah yang terlibat dengan kawasan banjir.

“Sehingga hari ini masih ada tiga buah PPS yang menempatkan 106 orang mangsa daripada 27 buah keluarga beroperasi di dua buah daerah iaitu Pekan dan Rompin.

“JKM Pahang telah menyalurkan bantuan asas kepada mangsa yang terlibat dan kita harap agar mereka terus bersabar sebelum dapat kembali ke rumah masing-masing selepas bencana ini berakhir,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA