Banjir Di Johor Semakin Pulih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun apabila 1,227 orang daripada 351 keluarga kini ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Berbanding jam 8 malam tadi, seramai 1,876 mangsa daripada 555 keluarga ditempatkan di 32 PPS seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata jumlah mangsa banjir di Segamat menurun ketara apabila terdapat 417 mangsa daripada 116 keluarga ditempatkan di 12 PPS pagi ini berbanding 709 mangsa daripada 194 keluarga di 15 PPS, malam tadi.

“Dua daerah turut beransur pulih adalah Tangkak dengan 182 mangsa daripada 55 keluarga di lima PPS, pagi ini, berbanding 379 mangsa daripada 134 keluarga di tujuh PPS, malam tadi.

“Muar juga menurun kepada 547 mangsa daripada 162 keluarga di lapan PPS, pagi ini, berbanding 707 mangsa daripada 209 keluarga di sembilan PPS, pagi tadi.

“Batu Pahat pula masih mengekalkan jumlah sama iaitu 81 mangsa daripada 18 keluarga di sebuah PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, Jabatan Pengairan dan Saliran Johor merekodkan hanya satu sungai yang berada pada aras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong-Muar pada bacaan 3.83 meter.

Katanya, pada masa sama, empat jalan masih ditutup bagi semua jenis kenderaan meliputi Jalan Pogoh, Segamat; Jalan Felda Bukit Aping (Jalan Kemuning 1), Kota Tinggi; Jalan Tekam-Pogoh, Muar dan Jalan Muar-Labis, Muar.

Sumber: Berita Harian